SIBU: Konsulat Jeneral Republik Indonesia kini sedang dalam proses untuk menjalin kerjasama erat dengan Sibu dan bandar lain di Sarawak.
Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono berkata, pihaknya berharap Sibu dan bandar-bandar lain serta Indonesia khususnya Kalimantan Timur dan Barat akan mempunyai kerjasama lebih konkrit, bukan sahaja bandar ke bandar malah universiti ke universiti, atau jenis kerjasama lain.
“Ya, kami terbuka, kami bersedia untuk memudahkan kerjasama selanjutnya ini. Kami melakukan yang terbaik dari segi perniagaan kepada perniagaan, kerajaan kepada kerajaan dan kerjasama rakyat kepada rakyat,” katanya pada sidang media, hari ini.
Beliau berkata kerjasama lebih erat antara Sarawak dan Indonesia khususnya Kalimantan amat penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kedua-dua tempat itu.
“Terdapat keperluan untuk menjalin kerjasama dari segi pengangkutan untuk mewujudkan hubungan yang lebih baik antara Kalimantan dan Sarawak.
“Setakat ini, terdapat perkhidmatan bas setiap hari dari Kuching ke Pontianak. Selain mencari lebih banyak perkhidmatan bas untuk sampai ke bahagian lain di Kalimantan, pihak kita juga melihat potensi kerjasama dari segi penerbangan.
“Ini sudah tentu potensi kerjasama masa depan kami dan kami cuba yang terbaik, langkah demi langkah. Kami memerlukan lebih banyak kerjasama, atas sebab itu kami berada di sini untuk memberi maklum balas dan susulan daripada lawatan kami sebelum ini,” katanya.
Beliau memberitahu, semasa lawatannya ke Sibu tahun lepas, beliau telah bertemu dengan pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI), Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan sebagainya.
“Sibu adalah sebuah tempat yang sangat unik, terdapat banyak kawasan berpotensi untuk mengadakan kerjasama itu.
“Sebagai contoh, selain acara kebudayaan, kita melihat untuk mengadakan kerjasama dengan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) kerana terdapat ramai pelajar berpotensi di Kalimantan.
“Ramai pelajar dari Kalimantan Barat belajar di institusi pengajian tinggi seperti UNIMAS dan Swinburne di Kuching.
“Kenapa mereka tidak pergi lebih jauh seperti UTS misalnya. Saya percaya ia akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar Indonesia tetapi juga UTS sendiri,” katanya.
Semasa lawatan kerjanya ke Sibu, Raden turut melawat Penjara Sibu dan pekerja di ladang.
Raden berada di Sibu untuk beberapa hari melawat dan beliau bersama keluarganya akan menyertai sambutan Tahun Baharu Cina di Sibu tahun ini.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Kumpulan Mafrica, Dato Thomas Tieng.
Oleh AKUN GIMAN
Keterangan gambar
LAWATAN…Raden (empat kiri) ketika melawat Penjara Pusat Sibu. Turut kelihatan ialah Tieng (dua kanan).