NEW DELHI: Beberapa hari selepas menjadi negara pertama mendaratkan kapal berhampiran kutub selatan bulan, Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) semalam berkata, mereka akan melancarkan satelit untuk meninjau matahari pula.
“Pelancaran Aditya-L1, balai cerap India berasaskan angkasa pertama yang mengkaji matahari, dijadualkan pada 2 September ini,” kata ISRO di laman X.
Aditya yang bermaksud ‘matahari’ dalam bahasa Hindi, akan dilepaskan ke orbit lingkaran cahaya di kawasan angkasa kira-kira 1.5 juta kilometer (km) dari bumi, yang akan memberikan sudut pandangan jelas berterusan kepada matahari.
“Ini akan memberikan kelebihan yang lebih besar untuk memerhati aktiviti suria dan kesannya terhadap cuaca angkasa dalam masa nyata,” kata ISRO.
Kapal angkasa itu akan membawa tujuh muatan untuk memerhati lapisan paling di luar matahari – dikenali sebagai ‘photosphere’ dan ‘chromosphere’ – termasuk dengan menggunakan pengesan medan elektromagnet dan zarah.
Antara beberapa objektif penerokaan itu adalah untuk mengkaji pemacu bagi cuaca angkasa, termasuk untuk lebih memahami dinamik angin suria.
Walaupun NASA dan Agensi Angkasa Eropah (ESA) sebelum ini sudah menempatkan orbiter untuk mengkaji Matahari, ia akan menjadi misi pertama seumpamanya untuk India.
Chandrayaan-3 tanpa pemandu atau kenderaan bulan dalam bahasa Sanskrit – mendarat di permukaan bulan pada minggu lalu, menjadikan India sebagai negara keempat selepas Amerika Syarikat (AS), Russia dan China yang berjaya mendarat di bulan.
Itu menandakan pencapaian terbaru dalam program angkasa lepas India yang bercita-cita tinggi tetapi berbajet rendah, lantas diraikan di seluruh negara paling ramai penduduk di dunia itu.
India mempunyai program angkasa yang berbajet rendah tetapi yang ia berkembang dengan ketara dari segi saiz dan momentum sejak pertama ka ke orbit bulan pada 2008.
Pakar berkata, India boleh mengekalkan kos rendah dengan menyalin dan menyesuaikan teknologi sedia ada, dan terima kasih kepada ramai jurutera berkemahiran tinggi yang hanya memperoleh sebahagian kecil daripada jumlah gaji rakan sejawatan di negara asing.
Pada 2014, India menjadi negara Asia pertama yang meletakkan pesawat ke orbit mengelilingi Marikh dan ia dijadualkan melancarkan misi kru tiga hari ke orbit bumi menjelang tahun depan.
Mereka juga merancang misi bersama dengan Jepun untuk menghantar satu lagi kapal ke bulan menjelang 2025 dan misi orbit ke Zuhrah dalam tempoh dua tahun akan datang. – AFP