KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac, 2020, berikutan penularan pandemik Covid-19 telah membawa impak yang besar terhadap ekonomi domestik.
Antara sektor yang teruk terjejas adalah sektor korporat yang mana impaknya kebanyakannya dicerminkan dalam keputusan kewangan syarikat pada suku kedua 2020 tanpa mengira akhir tahun kewangan mereka.
Beberapa ahli ekonomi sebelum ini menjangkakan kesan penuh akan dapat dilihat pada Suku Kedua, yang menyaksikan penguncupan ketara keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia awal bulan ini.
Ekonomi Malaysia susut sebanyak 17.1 peratus pada Suku Kedua 2020, penurunan suku tahun dua angka terburuk sejak 1998 berikut langkah kawalan pergerakan yang belum pernah berlaku sebelum ini yang dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19 yang menyebabkan ekonomi hampir terhenti sepenuhnya.
Pada suku keempat 1998, Malaysia merekodkan penurunan dua angka 11.2 peratus dan pertumbuhan KDNK 4.9 peratus pada suku kedua 2019.
AirAsia Group Bhd, antara syarikat yang paling teruk terjejas semasa tempoh itu menyaksikan hasilnya pada Suku Kedua 2020 jatuh menjunam sebanyak 96 peratus kepada RM119 juta ketika kemuncak krisis kesihatan itu apabila banyak negara mengumumkan sekatan pergerakan dan sempadan.
Syarikat itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM992.89 juta pada suku kedua berbanding keuntungan bersih RM17.34 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Dalam industri penerbangan, sebanyak 42 peratus daripada perolehan syarikat penerbangan tambang rendah adalah daripada segmen kargo dan operasi logistik, manakala perbelanjaan kumpulan merosot berikutan kumpulan pesawat tidak aktif pada akhir suku pertama dan operasi disambung semula secara berperingkat pada akhir Mei dan awal Jun berikutan sekatan perjalanan domestik yang dikurangkan.
Mengulas mengenai keputusan itu, Kenanga Investment Bank berkata dalam jangka masa sederhana, AirAsia dijangka menghadapi persekitaran operasi yang sukar, terjejas akibat gangguan perjalanan berikutan Covid-19 dan faktor muatan yang rendah.
“Kumpulan telah memohon pinjaman bank di negara operasi masing-masing untuk meningkatkan mudah tunai bagi membantu membiayai modal kerja dan pembayaran balik liabiliti pajakan, berjumlah RM12.2 bilion sehingga 30 Jun, 2020.
“Selain itu, AirAsia mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk usaha sama dan kerjasama yang boleh membawa kepada tambahan pelaburan pihak ketiga dalam segmen perniagaan kumpulan yang tertentu,” kata Kenangan.
Sunway Bhd yang merupakan antara konglomerat terbesar di Malaysia, turut mencatatkan perolehan yang rendah dalam tempoh sama berikutan sumbangan endah daripada kebanyakan segmen perniagaan kecuali pembangunan hartanah, kuari dan penjagaan kesihatan.
“Pandemik Covid-19, PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) sejak 18 Mac, 2020 telah menyebabkan gangguan dan impak kewangan yang besar kepada kumpulan, terutamanya perniagaan perhotelan dan riadah di bawah segmen pelaburan hartanah kumpulan yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh tersebut.
“Walaupun kebanyakan perniagaan lain kumpulan telah menyambung semula operasi semasa PKPB, jangkaan pemulihan perniagaan akan mencabar dan bergantung kepada peningkatan ekonomi secara keseluruhan,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia baru-baru ini.
Sementara itu, keuntungan bersih United Plantation Bhd yang berpangkalan di Perak melonjak 63 peratus pada suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2020 kepada RM123.59 juta berikutan kumpulan itu terus menggalakkan pengeluaran minyak sawit mentah dan isirung kelapa sawit di tengah-tengah harga jualan purata berbanding tahun sebelumnya.
Perolehan turut meningkat kepada RM294.32 juta daripada RM270.53 juta sebelumnya, kata kumpulan perladangan sawit dan kelapa itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia bulan lepas.
Suku kedua bagi tahun kewangan 2020 merupakan satu kelebihan kepada kebanyakan syarikat perladangan berikutan mereka mencatatkan prestasi kewangan luar biasa susulan peningkatan harga MSM di tengah-tengah musim pengeluaran yang rendah.