
LIMBANG: Ilmu pengetahuan mempunyai kuasa besar dalam mengubah nasib seseorang serta keluarganya.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata seseorang itu boleh keluar dari kepompong kemiskinan dan membina kehidupan yang lebih baik melalui ilmu.
Tambahnya, dalam Islam sendiri, darjat orang yang berilmu itu sangat tinggi di sisi Allah SWT.
“Oleh itu, ia menjadi tanggungjawab kita bersama, khususnya ibu bapa, untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna termasuklah pendidikan agama.
“Dalam zaman yang semakin mencabar ini, pendidikan agama amat penting bagi membentuk akhlak yang mulia serta memastikan anak-anak kita mempunyai akidah yang betul dan menjadi insan yang beriman,” katanya ketika berucap pada Projek Kasih Ramadan Daerah Limbang di Dewan Bunga Raya di sini, hari ini.

Dalam hal ini, beliau turut memperkenalkan Sarawak Volunteers, iaitu inisiatif yang bertujuan membantu dan menyokong anak-anak Sarawak dalam bidang pendidikan serta pembangunan diri.
Ujarnya, antara objektif utama Sarawak Volunteers adalah untuk menyediakan bimbingan dan sokongan kepada pelajar, khususnya dalam menimba ilmu dan mengembangkan potensi mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Projek Kasih Ramadan bertujuan menyantuni 118 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin dan anak yatim di Daerah Limbang.
Sumbangan berupa makanan asas harian, wang tunai dan ‘Meal Ready to Eat’ (MRE) telah diagihkan bagi meringankan beban mereka. – UKAS