
KUCHING: Di sebalik setiap alunan lagu yang menjadi halwa telinga pendengar, tersimpan perjalanan panjang seorang anak seni yang membina nama dari bawah dengan penuh kesungguhan.
Itulah kisah Alexius Paul, penerbit muzik muda yang kini semakin dikenali dalam dunia muzik tempatan.
Minatnya terhadap muzik bermula sejak di bangku Sekolah Seni Malaysia Sarawak, sebelum melangkah ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dalam Diploma seni Muzik di Fakulti Muzik. Dari situ, muzik bukan lagi sekadar minat, tetapi menjadi bahasa hidup yang membentuk arah masa depannya.
Baginya, bidang muzik bukan hanya ruang kerjaya, tetapi medan untuk berkarya dan menyampaikan rasa kepada masyarakat.
“Bidang ini sangat luas. Ia memberi ruang untuk kita berkarya dan menonjolkan hasil ciptaan kepada masyarakat,” katanya.
Dalam proses mencipta lagu pula, Alexius tidak bergantung kepada satu cara tetap. Ada ketika ilham hadir secara spontan, dan ada juga masa yang memerlukan tempoh beberapa hari untuk menghasilkan melodi yang benar-benar sesuai dengan jiwa karya.
“Ada kalanya idea datang secara spontan, dan ada juga yang mengambil masa beberapa hari,” jelasnya.
Di sebalik rutin kreatifnya, terdapat satu kebiasaan kecil yang menjadi ‘peneman setia’ di studio—minuman seperti kopi atau minuman segar yang membantu mengekalkan mood dan semangat ketika berkarya.
Antara karya yang paling dekat di hatinya ialah lagu Midang Belalai nyanyian Alex Wan, yang juga merupakan antara projek terawal beliau ketika masih menuntut di UiTM. Ketika itu, beliau hanya bertindak sebagai penyusun muzik serta mengendalikan proses ‘mixing’ dan ‘mastering‘.

“Saya tidak sangka lagu itu boleh menjadi fenomena dan mencapai jutaan tontonan di YouTube di bawah Twintone Production,” katanya.
Pengaruh muziknya turut datang daripada pelbagai sumber, termasuk artis luar negara seperti Charlie ST12 dan Judika, serta artis tempatan seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan kumpulan Floor 88, yang banyak membentuk cita rasa muziknya.
Menariknya, ilham sering hadir tanpa mengira masa—termasuk pada waktu malam. Setiap kali idea muncul, beliau akan segera merakamnya menggunakan telefon bagi mengelakkan ia hilang begitu sahaja.
“Kalau tiba-tiba dapat idea, saya akan terus rakam guna telefon. Kalau tidak, ia boleh hilang,” ujarnya.
Jika tidak berada dalam bidang muzik, Alexius berkemungkinan akan menceburi bidang kemahiran lain atau pendidikan. Namun, baginya muzik sudah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup yang sukar dipisahkan.
Buat anak muda yang ingin menceburi dunia komposer dan penyusun muzik, beliau menasihati agar tidak takut untuk meneroka serta melanjutkan pengajian dalam bidang muzik.
“Ilmu yang dipelajari sangat penting kerana ia berkait rapat antara teori dan praktikal dalam dunia sebenar,” katanya.
Oleh Norman B