
SANTO DOMINGO, Ecuador: Moises Caicedo menjulang trofi pertamanya, sebuah piala plastik berwarna emas, di celah rumah kecil yang padat di kawasan kejiranan kelas pekerja di Ecuador. Musim panas ini, dia akan mara ke Piala Dunia keduanya.
Hadiah kecil yang dimenanginya itu dipinjam daripada seorang jiran untuk memberi sekumpulan kanak-kanak merasai nikmat kemenangan.
Sekeping gambar daripada kejohanan zaman kanak-kanaknya masih menjadi kenangan berharga buat Jeremy Cedeno, rakan zaman kecil pemain tengah bertahan Chelsea itu yang pada usia 24 tahun akan bermain dalam Piala Dunia keduanya mulai 11 Jun ini.

Gambar itu menunjukkan Caicedo berlutut, dikelilingi lima rakan sepasukan muda, sambil tersenyum lebar dan memegang piala kecil kemenangan daripada sebuah kejohanan di kawasan kejiranan Mujer Trabajadora, di wilayah Santo Domingo de los Tsachilas, tengah Ecuador.
“Tiada pengadil pun,” kata Cedeno kepada AFP. “Aduhai, terjahannya memang ganas!”
Caicedo mengukir senyuman yang sama ketika menjulang trofi Piala Dunia Kelab bersama The Blues di Amerika Syarikat pada Julai 2025.
“Kami sangat bangga,” kata Cedeno, seorang paramedik berusia 24 tahun, “kerana dia berasal dari sini, dari kawasan kejiranan ini, tempat dia dahulu bermain tanpa kasut.”

Perpindahan Caicedo dari Brighton ke Chelsea dengan nilai dilaporkan sebanyak 115 juta pound (AS$147 juta) mencipta rekod baharu bola sepak England pada 2023. Dia membuat 50 penampilan bersama Chelsea musim ini dan menjaringkan lima gol.
Caicedo, anak bongsu daripada 10 adik-beradik, pernah menjual bunga di tanah perkuburan bagi membantu keluarganya. Dia kini pemain termahal dalam skuad kebangsaan Ecuador yang disertainya sejak usia 18 tahun, selain telah mengumpul 60 kaps antarabangsa serta menjaringkan tiga gol.
Di kampung halamannya di Santo Domingo, wajah Caicedo terpampang pada mural, baju serta alat pelindung kaki yang digunakan kanak-kanak yang bercita-cita mengikut jejak langkahnya, termasuk Julian Hidalgo yang berusia sembilan tahun.
Kanak-kanak itu, yang mengagumi kecerdikan dan kepantasan Caicedo, dilatih oleh jurulatih yang sama, Ivan Guerra.
“Kami sentiasa mengingatkan mereka bahawa Caicedo bermula di sekolah bola sepak ini, dengan padangnya dahulu hanya berlumpur, berbatu dan berpasir, malah kadangkala dipenuhi serpihan kaca,” kata Guerra, 58, kepada AFP. “Kami mengajar kanak-kanak ini supaya bekerja keras jika mahu impian mereka menjadi kenyataan.”
Rasa Kekitaan
Dia mengimbau bagaimana Caicedo bermain di jalanan bersama rakan-rakannya, kesukaran kewangan untuk menganjurkan perlawanan, serta bagaimana pemain itu membantunya meletakkan kereta di kawasan hiburan bandar bagi memperoleh sedikit wang untuk kelab mereka.
Darwin Castillo melatih Caicedo ketika remaja di kelab Jaipadida. Dia mengingati seorang budak yang pemalu, dalam banyak aspek “seperti budak lain”, namun sudah menonjol kerana semangat juang yang tinggi dan fizikal luar biasa.
“Disiplin Moises datang daripada didikan keluarganya… sebuah keluarga yang sangat miskin dan sentiasa berdoa sebelum makan,” katanya.
Tahun lalu, Caicedo dianugerahkan pingat kecemerlangan sukan oleh Perhimpunan Nasional Ecuador.
“Sejak kecil lagi, saya sentiasa mahu menjadi pemain bola sepak profesional,” katanya pada majlis penyampaian itu, sambil menegaskan dia tetap “budak sederhana yang tidak melupakan asal-usulnya.”
Castillo berkata, pemain itu menepati kata-katanya.
Dia mempunyai “rasa kekitaan dan masih cuba melakukan perkara yang tidak dapat dilakukannya ketika kecil” akibat kekurangan wang, jelasnya.
Caicedo menghabiskan cutinya di Ecuador dengan pergi ke pantai, menaiki roda Ferris dan bermain bola bersama bekas jurulatih serta rakan-rakannya, sekali gus kembali seketika menjadi budak kecil yang dahulu menjulang trofi plastik. – AFP