Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Ilmu dan pendidikan kunci hadapi transformasi ekonomi – Abang Johari
  • TEMPATAN

Ilmu dan pendidikan kunci hadapi transformasi ekonomi – Abang Johari

Utusan Sarawak 8 hours ago
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi ucapan semasa Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak 1448H/2026M di Stadium Bandaraya Miri, hari ini. Foto: UKAS

MIRI: Umat Islam di Sarawak perlu memberi penekanan kepada pendidikan dan penguasaan ilmu bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi global yang semakin pesat, didorong oleh kemajuan teknologi dan transformasi industri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata dunia kini berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi, perubahan teknologi serta peralihan kepada ekonomi rendah karbon yang menuntut masyarakat untuk bersedia dengan kemahiran dan pengetahuan baharu.

Menurut beliau, perubahan yang berlaku pada peringkat global turut membuka peluang baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau dan ekonomi berasaskan inovasi yang perlu dimanfaatkan.

“Dengan transformasi yang sedang berlaku hari ini serta berasaskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), umat Islam di Sarawak perlu memainkan peranan penting melalui pendidikan dan peningkatan ilmu pengetahuan.

“Kita mesti memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik supaya mereka mampu bersaing dalam ekonomi masa depan yang berteraskan teknologi dan inovasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak 1448H/2026M di Stadium Bandaraya Miri di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, serta Timbalan Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadhilah Ustaz Haji Mohd Ihsan Haji Haidzir.

YANG di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut hadir bagi menyempurnakan Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak 1448H/2026M di Stadium Bandaraya Miri, hari ini. Foto: UKAS

Abang Johari berkata kerajaan Sarawak terus memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, termasuk menyediakan pelbagai peluang pendidikan kepada anak-anak Sarawak sebagai persediaan menghadapi perubahan landskap ekonomi dunia.

Menurutnya, pendidikan merupakan jambatan penting dalam membentuk generasi yang berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak terjebak dalam perpecahan dan politik yang tidak membawa manfaat kepada pembangunan.

Sebaliknya, rakyat perlu memperkukuhkan perpaduan, mengamalkan sikap saling menghormati, dan menjadikan agama sebagai landasan dalam membentuk masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berintegriti.

“Marilah kita bersama-sama membangunkan Sarawak sebagai negeri yang maju dan makmur dengan berpandukan ilmu, perpaduan serta nilai-nilai murni,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Ombudsman Sarawak catat sejarah sebagai ahli bersekutu pertama SEAOF
Next: RM6.6 juta projek agro makanan BDDA di DUN Kalaka siap sepenuhnya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.