SARIKEI: Program Menyemai Bakti Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) merupakan program yang dilaksanakan secara tahunan, kata penyandang kerusi Parlimen P.206 Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab.
Katanya, beliau amat bersyukur kerana program yang dilaksanakan oleh pihak IKMAS di kampung-kampung terlibat di sekitar Sarikei telah berjalan dengan baik dan lancar.
Enam buah kampung yang terlibat dengan program pengambilan anak angkat selama sebulan ini ialah Kampung Seberang Sarikei, Kampung Selalang, Kampung Gemuan, Kampung Skim B dan Kampung Bintangor dan Kampung Bukit Kinyau.
“Terima kasih kepada semua agensi-agensi yang terlibat serta penghulu, ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) atas sokongan dan dokongan kepada program ini.
“Kita sentiasa menyokong program-program yang berteraskan sumbang bakti kepada masyarakat, sebagaimana nama program ini iaitu Program Menyemai Bakti,” katanya di Majlis Perasmian Penutupan Program Menyemai Bakti IKMAS Ke-21 di Pusat Inovasi Sarikei (SIC), pagi semalam.
Sehubungan itu, beliau percaya bahawa siswa dan siswi IKMAS telah memberi sumbangan yang banyak terhadap masyarakat khususnya di bahagian Sarikei ini khususnya dalam pembangunan modal insan di kampung kampung di mana mereka telah ditempatkan.
“Kita mengharapkan supaya program seumpama ini akan terus dilaksanakan oleh IKMAS.
“Inilah salah satu cara untuk mendekatkan pelajar kepada masyarakat secara langsung.
“Semoga mereka akan lahir sebagai seorang pemimpin yang baik dalam masyarakat nanti,” ujarnya.
Yusuf yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berharap semoga bakal-bakal graduan yang akan lahir dari IKMAS ini akan terus menyumbang dan membimbing masyarakat serta menjadi aset yang tak terkira nilainya di negeri Sarawak.
Turut hadir ialah Pengarah IKMAS, Ustaz Kamaldin Mohd Damin, Timbalan Residen Sarikei, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Sarawak, Ustaz Hamdan Jar’ee dan Temenggong Awangku Ibrahim Awangku Hosain.