KUCHING, 6 Oktober: Podcast Borak Kenyalang terbitan Utusan Sarawak meneruskan episod ketiganya dengan mengetengahkan perjalanan lagu ‘Dayang Bintang’, daripada proses penghasilan sehingga kejayaannya mencipta nama di pentas industri muzik.
Episod kali ini menampilkan penyanyi Gibrael Mawat bersama pencipta lagu tersebut, Maxwel Franklin Saran, manakala wartawan Utusan Sarawak, Adele Rissa, bertindak sebagai moderator.
Perbincangan memfokuskan kepada perjalanan penghasilan lagu ‘Dayang Bintang’, merangkumi cetusan idea, proses penciptaan dan rakaman, sambutan pendengar, serta pencapaian yang dilakar sejak lagu itu dilancarkan pada 23 Mei 2026.
Menurut Mawat, ‘Dayang Bintang’ bukan sepenuhnya mengetengahkan genre tradisional, sebaliknya menggabungkan unsur tradisional dengan rentak moden serta pengaruh muzik serantau bagi menghasilkan kelainan kepada pendengar.
“Saya tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah. Ketika itu kami hanya mahu mencuba dan berharap ‘Dayang Bintang’ dapat diterima pendengar,” katanya.
Perbincangan turut mengupas detik pertama Mawat mendengar demo ‘Dayang Bintang’, apabila beliau tertarik dengan genre dan susunan muziknya yang berbeza daripada karya terdahulu.
Maxwel pula berkongsi mengenai strategi di sebalik penghasilan ‘Dayang Bintang’ yang bukan sekadar dibuat mengikut cita rasa sendiri, tetapi turut mengambil kira data, kajian serta kecenderungan pendengar.
Konsep lagu berkenaan turut melalui perbincangan bersama pasukan produksi, manakala penggunaan bahasa yang lebih mudah dipilih bagi membolehkan karya itu difahami dan dinikmati pendengar daripada pelbagai latar belakang.
‘Dayang Bintang’ membawa kisah pujian terhadap kecantikan seorang wanita, namun dalam masa sama mengetengahkan bahasa, rentak serta identiti muzik Iban kepada khalayak yang lebih luas.
“Kita tidak seharusnya malu dengan lagu tradisional, rentak Iban atau bahasa Iban. ‘Dayang Bintang’ bukan hanya lagu kami, tetapi lagu kita bersama,” kata Maxwel.
‘Dayang Bintang’ seterusnya melangkah ke pentas lebih besar menerusi Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), sekali gus menjadi antara pencapaian penting dalam perjalanan seni Mawat dan Maxwel serta membawa karya berbahasa Iban ke pentas industri muzik tanah air.
Perjalanan lagu tersebut kemudian membuahkan kejayaan apabila Mawat muncul naib juara Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ) ke-9 menerusi ‘Dayang Bintang’, selain meraih Artis Paling Popular, Persembahan Terbaik serta Lagu Paling Popular.
Nantikan episod ketiga Borak Kenyalang yang boleh ditonton menerusi platform digital rasmi Utusan Sarawak, termasuk Facebook dan TikTok Borak Kenyalang.
Oleh Norman B




