
SIBU: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) akan menganjurkan Program Promosi Turun Padang JOM@COOP Mempromosi Latihan dan Pendidikan Koperasi 2025, di Hotel Kingwood Sibu pada 13 Februari ini.
Pensyarah Kanan IKMa Zon Sarawak, Mohamad Suandi Mortadza berkata, program promosi itu merupakan salah satu aktiviti tahunan yang dijalankan oleh IKMa bagi meningkatkan kefahaman komuniti koperasi serta ahli dalam membangunkan ekonomi komuniti mereka dan seterusnya memberi impak kepada negara.
“Selain itu, program ini dapat mempromosikan kelebihan dan keistimewaan koperasi kepada masyarakat serta menghebahkan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan oleh IKMa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, antara pengisian program termasuk perkongsian pengalaman oleh Pengerusi CoopBank Pertama merangkap Ahli Lembaga Pengarah IKMa, Datuk Baharom Embi yang bertajuk ‘Rahsia Jana Untung Bisnes’.
“Ini diikuti oleh taklimat program IKMa Zon Sarawak, perkongsian pengalaman bekas peserta program IKMa serta pameran agensi, gerai jualan dan pameran koperasi dan usahawan,” katanya.
Saundi yang juga penyelaras program memberitahu, objektif program turun padang ini bagi menerangkan program latihan dan pendidikan yang ditawarkan IKMa sepanjang tahun 2025 serta memberi pendedahan kepada warga koperator khasnya di Bahagian Sibu dan kawasan sekitar berkenaan peranan IKMa Zon Sarawak di dalam pembangunan modal insan koperasi.
“Program ini juga bagi berkongsi pengalaman menguruskan kejayaan perniagaan agar menjadi pedoman dan motivasi kepada kemajuan koperasi dan perniagaan yang diuruskan,” katanya.
Menyentuh mengenai kumpulan sasaran, beliau berkata pelaksanaan program ini mensasarkan penyertaan 150 orang peserta daripada bahagian Sibu, Sarikei, Kapit, Mukah dan kawasan sekitar, yang terdiri daripada Anggota Lembaga Koperasi (ALK), anggota koperasi dan kakitangan koperasi, selain usahawan dan masyarakat umum.
Penyertaan adalah percuma dan peserta boleh mengisi pautan pendaftaran di https://bit.ly/JomCoopSIBU atau menghubungi talian 082-552408/082-552405 atau Emel : sarawak@ikma.edu.my.
Oleh Akun Giman