BINTANG AC Milan Zlatan Ibrahimovic disahkan positif Covid-19 pada Khamis namun berkata : “Covid mempunyai keberanian untuk mencabar saya. Idea buruk.”
“Saya diuji negatif terhadap Covid-19 semalam dan positif hari ini,” kata Ibrahimovic, yang bakal mencecah 39 tahundalam tempoh seminggu lagi menerusi Twitter.
“Tidak ada gejala apa pun. Covid-19 mempunyai keberanian untuk mencabar saya. Idea buruk.”
Pemain Sweden itu kini mengasingkan diri dan akan terlepas perlawanan pusingan kelayakan ketiga Liga Europa menentang kelab Norway, Bodo-Glimt di San Siro.
Ujian positif adalah tamparan bagi Ibrahimovic yang tampil cemerlang walaupun sudah bertahun-tahun lamanya.
Dia menjaringkan dua gol dalam perlawanan pembukaan Serie A ketika AC Milan menentang Bologna pada Isnin lalu turut menjaringkan gol ketika Milan menentang pasukan Ireland, Shamrock Rovers di saingan Kelayakan Liga Europa.
“Ini adalah ketiadaan yang berat dan tidak dijangka,” kata pengarah teknikal Milan, Paolo Maldini.
“Dia berasa kesal kerana berada dalam keadaan fizikal yang cergas namun sayangnya mengalami jangkitan yang berterusan.
“Harapannya adalah untuk segera bebas daripada penyakit ini dan dalam tujuh hari dia akan kembali bersedia beraksi pada pendapat saya,” tambah Maldini.
Ibrahimovic dijangka akan terlepas dalam dua perlawanan Serie A seterusnya menentang Crotone dan Spezia.
Pemain Sweden itu kemungkinan besar akan boleh beraksi selepas rehat ketika Milan menentag seterunya Inter pada 17 Oktober.
“Ibrahimovic telah diuji positif Covid-19 setelah ujian pusingan kedua menjelang perlawanan malam ini menentang Bodo-Glimt,” kata Milan sebelumnya.
“Kelab telah memberitahu pihak berkuasa dan pemain tersebut segera ditempatkan dalam kuarantin di rumah. Semua anggota pasukan dan kakitangan lain telah diuji negatif.”
Ujian pusingan kedua dilakukan selepas keputusan pemain pertahanan dari Brazil, Leo Duarte positif untuk Covid-19 pada Rabu lalu.
Milan merekrut penyerang itu pada Januari dengan kontrak enam bulan setelah meninggalkan Los Angeles Galaxy, dengan perjanjian bernilai 3.5 juta euro dengan pilihan untuk tambahan musim.
Bekas pemain Manchester United, Paris Saint-Germain dan Barcelona itu memberi impak besar, menjaringkan 11 gol dalam 20 perlawanan.
Bulan lalu dia mencapai kesepakatan mengenai perjanjian baharu untuk musim lain yang dilaporkan bernilai tujuh juta euro.
Juara Eropah tujuh kali itu naik dari tangga ke-11 ke tangga keenam, menamatkan musim liga dengan 12 perlawanan tanpa kalah. AFP