BINTANG Sweden, Zlatan Ibrahimovic membalikkan masa dengan menjaringkan dua gol ketika AC Milan mengalahkan 10 pemain Sassuolo 2-1 untuk melonjak ke tangga kelima di depan Roma dan Napoli dan masuk ke tempat kelayakan Liga Europa.
Di luar tempat kelayakan Liga Juara-Juara UEFA, pasukan Milan, Stefano Pioli melebarkan rentak tanpa kalah mereka sejak Serie A disambung semula selepas ‘lockdown’ Covid-19 dengan kemenangan ketujuh daripada sembilan perlawanan.
“Saya sudah melihat pasukan bertambah baik sebelum ‘lockdown’, lalu kami terus berkembang pesat,” kata Pioli, yang telah diberi lanjutan kontrak dua tahun dengan kelab itu hingga Jun 2022.
“Kami melakukan perkara yang baik, tetapi belum selesai,” tambah Ibrahimovic.
“Kami masih berusaha untuk mencapai sasaran kami. Tempat kelima adalah apa yang kami mahukan, tetapi kelayakan juga baik.”
Ibrahimovic menanduk masuk hantaran Hakan Calhanoglu selepas 19 minit dan menambah gol kedua sejurus sebelum rehat.
Pemain berusia 38 tahun itu, yang membantu Milan meraih gelaran Serie A terakhir mereka pada tahun 2011, menikmati menjaringkan lebih daripada satu gol dalam perlawanan Serie A untuk pertama kalinya dalam lapan tahun.
Francesco Caputo telah menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah menerusi sepakan penalti, setelah bola terkena tangan Calhanoglu, untuk gol ke-19 beliau musim ini.
Tetapi Sassuolo bermain separuh masa kedua denbgan 10 orang setelah Mehdi Bourabia dibuang padang kerana mengkasari Ante Rebic, menamatkan rentak sembilan perlawanan tanpa kalah.
Penjaga gawang Milan, Gianluigi Donnarumma mengambil alih gelang kapten selepas Alessio Romagnoli mengalami kecederaan dengan pemain berusia 21 tahun itu menandakan permainan ke-200 beliau untuk kelab. – AFP