
HYDERABAD: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengucapkan terima kasih kepada bandar Hyderabad di India kerana menamakan sebatang jalan sempena namanya.
“Donald Trump Avenue yang baharu di Hyderabad, India. Presiden AS pertama yang pernah diberi penghormatan sedemikian. Terima kasih!” tulis Trump dalam hantaran media sosial pada Jumaat.
Jalan berhampiran Konsulat Amerika Syarikat di ibu negeri Telangana itu dinamakan semula sebagai “Donald Trump Avenue” pada 23 Jun, dalam satu acara sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika.
Plak nama jalan itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Bhatti Vikramarka Mallu dan Duta AS ke India Sergio Gor.
Sebahagian besar komuniti India-Amerika di AS berasal dari Hyderabad dan wilayah Telugu yang lebih luas, termasuk negeri Andhra Pradesh.
Banyak syarikat AS seperti Goldman Sachs, Amazon, Google, AT&T dan Wells Fargo menjalankan operasi di Hyderabad, susulan kemunculan bandar itu sebagai hab ‘pusat keupayaan global’ (GCC) bagi firma asing. – Bernama