ENGGAN dibuai layak ke Sukan Olimpik Tokyo atas tiket wildcard, jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei bertekad mahu memburu kelayakan secara merit.
Atlet berusia 33 tahun itu berada pada landasan tepat untuk ke Tokyo secara merit apabila menghuni kedudukan ke-16 dalam ranking dunia dengan 1,235 mata, sekali gus meletakkan dirinya di ranking ke- 21 ‘Road to Tokyo’ Olahraga Dunia.
Bagaimanapun, persiapan atlet kelahiran Kajang, Selangor yang akan membuat penampilan ketiga di temasya Olimpik itu sedikit terjejas berikutan tiada sebarang kejohanan dianjurkan kerana penularan Covid-19 melanda dunia ketika ini.
Tambahan pula tempoh kelayakan Olimpik bagi sukan olahraga akan bersambung pada 1 Disember ini hingga 29 Jun 2021 yang menuntut kerja keras dalam usaha juara Asia 2007 itu untuk mendapatkan tempat secara merit selepas kali pertama melakukannya pada Sukan Olimpik Beijing 2008.
“Kena kerja keras untuk dapatkan tempat ke Olimpik secara merit menerusi sistem mata. Itu misi pertama saya dan apabila berjaya, akan cuba mara ke pusingan akhir di Tokyo. Perlu lihat kejohanan yang boleh disertai pada tahun depan kerana tidak dapat sertai apa-apa kejohanan pada masa ini.
“Dengan situasi Covid-19 semakin teruk, saya pun agak tertekan kerana kekuatan berlatih dan menyertai kejohanan tidak sama. Sekiranya kita tidak dapat menyertai apa-apa kejohanan, kita terpaksa membuat kejohanan ujian, bersaing dengan atlet junior untuk uji prestasi kita.
“Untuk ke Sukan Olimpik, perlu lihat pada prestasi juga…Jika prestasi tidak bagus, untuk apa kita ke Sukan Olimpik,” katanya yang sedang mengikuti latihan secara kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Sebelum ini, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S.M. Muthu memberitahu Bernama bahawa, Hup Wei adalah pilihan untuk menerima tiket wildcard tunggal ke Tokyo berdasarkan kedudukannya di ranking dunia.
Seorang lagi atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa berada di tempat ke-45 dunia; diikuti atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail (56) dan atlet lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin (59).
Sementara itu, mengenai latihan yang dijalani sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Hup Wei yang pernah beraksi di Olimpik Beijing (2008) dan London (2012) berkata buat masa ini latihan secara kuarantin di MSN adalah langkah paling tepat dan selamat buat atlet.
“Latihan di sini lagi bagus kerana boleh menginap di sini, senang berjumpa dengan jurulatih dan ada juga pusat pemulihan untuk memudahkan proses pemulihan. Buat masa ini tiada perancangan untuk latihan di luar negara kerana di sini lebih selamat.
“Keadaan ini memang kali pertama berlaku. Saya rasa kita kena sabar juga…Kalau kita selamat dan sihat, baru boleh pergi kejohanan, kalau tidak sihat mana boleh sertai kejohanan,” kata pemenang pingat emas tiga kali temasya Sukan SEA itu.,” katanya.-Bernama