LAWAS: Hospital Lawas baharu dijangka siap menjelang Jun tahun depan, sekali gus bakal memberi perkhidmatan kesihatan terbaik yang dinanti 60,000 penduduk Lawas sejak sekian lama.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni berkata hospital itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk berupaya memuatkan 76 katil.
“Sehingga 30 September 2024, peratusan pelaksanaannya adalah sekitar 84.66 peratus iaitu mengikut jadual.
“Bagaimanapun terdapat beberapa isu dibangkitkan oleh pihak kontraktor yang akan kita selesaikan berkaitan yang memerlukan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat dan taklimat perkembangan pembinaan hospital Lawas dalam Program Jelajah Sarawak Timbalan Menteri Kesihatan di sini, semalam.
Selain itu katanya, tujuh klinik kesihatan dalam keadaan daif di seluruh negeri termasuk tiga di kawasan Parlimen Lawas akan dibaik pulih.
Lukarisman berkata tiga klinik kesihatan di Parlimen Lawas bagi tujuan itu adalah Klinik Kesihatan Trusan, Klinik Kesihatan Merapok dan Klinik Kesihatan Ba’kelalan.
Katanya, penduduk di kawasan Kuala Lawas juga bakal miliki sebuah Klinik Kesihatan baharu yang dibina melalui peruntukan khas Perdana Menteri dan Premier Sarawak.
“Pembinaan klinik kesihatan baharu di Kuala Lawas adalah seiring dengan pembangunan besar di kawasan berkenaan.
“Dengan ada klinik di Kuala Lawas ini juga akan meningkatkan akses kesihatan dan juga saya difahamkan ia adalah sebahagian perancangan Lawas ini yang akan melibatkan jajaran jalan dan juga jambatan.
“Sudah pasti klinik yang kami bina ini adalah untuk masa depan.
“Bila sudah ada jambatan kelak yang akan menuju ke Kuala Lawas akan memberikan akses yang lebih mudah untuk ulang-alik pesakit,” katanya.
Oleh ADENG EDRUS