KUCHING: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Begitulah peribahasa yang menggambarkan keperitan dan kepayahan seorang anak yang berharap dapat menjaga orang tua namun harapan itu hancur berkecai setelah disahkan menghidap penyakit sistemik lupus eritematosus (SLE) dan pelbagai penyakit kronik yang lain.
Penyakit SLE atau lupus ialah penyakit kronik ’autoimmune’ yang mana antibodi seseorang bertindak balas dengan tisu badan pesakit itu sendiri.
Keadaan ini menjejaskan beberapa bahagian sistem tubuh seperti kulit, sendi, buah pinggang, paru-paru, sistem saraf atau organ-organ lain di dalam badan.
Lebih parah lagi, dia dan bapanya masing-masing dimasukkan ke hospital kerana keadaan kesihatan yang semakin merosot, baru-baru ini.
Nasib wanita yang menetap di Sungai Tengah, Matang, di sini juga berubah secara drastik apabila seluruh tubuhnya menjadi lemah dan perlu menggunakan kerusi roda.
Menyedari nasib keluarga tersebut, Pertubuhan Kebajikan Harapan (Hope Place) Kuching tampil untuk melawat sekali gus menyerahkan sedikit sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka.
”Dia berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan penjagaan dan pengawasan yang berterusan.
”Selain menghidap SLE, dia juga mengalami kegagalan buah pinggang dan menjalani dialisis tiga kali seminggu.
”Sebelum menderita akibat penyakit tersebut, dia pernah menjadi penanam dan penjual taugeh di Pasar Batu 7. Keluarganya memiliki kawasan lapang yang luas dan ibu bapanya juga menanam dan menjual buah-buahan tempatan,” menurut Hope Place.
Bercerita lanjut berkenaan latar belakang keluarga tersebut, Hope Place memberitahu perniagaan tersebut telah diambil alih oleh abang wanita tersebut memandangkan kedua ibu bapa mereka semakin uzur.
Kini, abangnya merupakan satu-satunya pencari rezeki yang perlu menampung mereka sekeluarga.
”Dia telah dimasukkan ke hospital minggu lepas apabila keadaan kesihatannya merosot.
”Lebih menyedihkan,bapanya juga telah dikejarkan ke hospital awal minggu lalu. Menurut laporan perubatan awal, dia disyaki menghidap kanser.
”pada masa ini dia dan bapanya berada di hospital kerana masih menunggu diagnosis lanjut,” ujarnya.
Justeru, Hope Place membantu meringankan beban mereka sekeluarga dengan bekalan makanan yang berterusan, baru-baru ini.