
KUALA LUMPUR: Gandingan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri berpotensi menjadi lima beregu utama negara yang berada dalam kelompok 20 terbaik dunia menjelang akhir tahun ini.
Keyakinan itu disuarakan ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Imsan Pierngadi berdasarkan kepada prestasi cemerlang Hon Jian-Muhammad Haikal yang pernah menghuni tempat ke-18 dunia tahun lepas.
Beliau berkata pasangan yang terpaksa berehat panjang susulan kecederaan itu telah menunjukkan kemajuan semasa sesi latihan meskipun hampir empat bulan tidak beraksi di kejohanan kompetitif.
“Semoga apa yang telah dilatih dapat diterjemah dalam perlawanan sebenar. Saya belum boleh nilai sepenuhnya sehingga mereka bertanding. Tetapi saya harap mereka dapat kembali seperti dulu,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara hari ini.
Pasangan negara terpaksa berehat sejak Januari tahun ini, susulan kecederaan koyak otot di bahagian pinggul kanan yang dialami Muhammad Haikal ketika menjalani latihan.
Selain itu, Herry berharap Hon Jian-Muhammad Haikal yang kini berada di ranking ke-32 mampu menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan, pada masa sama meningkatkan kekuatan fizikal mereka.
“Kalau dari segi pukulan tiada masalah, tapi fizikalnya perlu diberi perhatian. Bila lama tidak bertanding, ketahanan badan dan rentak permainan boleh menurun,” katanya.
Pasangan negara itu dijadualkan beraksi pada Terbuka Taiwan bermula hari ini hingga 11 Mei, sebelum meneruskan cabaran di Masters Malaysia pada 20 hingga 25 Mei di Axiata Arena.
Kali terakhir Hon Jian-Muhammad Haikal beraksi di kejohanan kompetitif ialah Masters China di Shenzen, November tahun lepas menyaksikan mereka tewas kepada gandingan tuan rumah Hi Ji Ting-Ren Xiang Yu 12-21, 15-21.– Bernama