LAWAS, 13 Oktober: Pelan menaik taraf perkhidmatan telekomunikasi di Lawas perlu segera diterjemahkan kepada tindakan di lapangan bagi memastikan penduduk di daerah itu menikmati akses internet yang lebih stabil dan menyeluruh.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, kerjasama lebih erat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Sacofa Sdn Bhd (Sacofa) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) amat penting untuk mempercepat penyelesaian masalah telekomunikasi yang berlarutan di kawasan berkenaan.
Beliau menegaskan, segala perancangan yang dibentangkan oleh agensi terlibat perlu dilaksanakan secara berkesan dan tidak sekadar berakhir di meja mesyuarat atau dalam laporan.
“Kita amat serius dalam perkara ini. Saya sendiri akan bertemu dengan Menteri Komunikasi dan Menteri Digital bagi mencari penyelesaian segera terhadap masalah ini.
“Beberapa pertemuan di peringkat pegawai telah diadakan sebelum ini, dan kini usaha akan ditumpukan kepada perbincangan di peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan mesyuarat selama dua jam bersama pihak SKMM dan Sacofa di pejabatnya di Lawas hari ini.
Menurut Henry Sum, pelbagai usaha perlu dipergiat bagi memperbaiki mutu perkhidmatan telekomunikasi di daerah itu, khususnya di kawasan yang sering mengalami gangguan internet dan kawasan yang masih belum mendapat liputan.
Beliau berkata, beliau bersama Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, terus berusaha memastikan masalah berkenaan dapat ditangani.
Sementara itu, SKMM memaklumkan bahawa daerah Lawas merupakan antara kawasan yang diberi perhatian dalam pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 2.
Pelaksanaan projek itu memberi tumpuan kepada kawasan yang kerap mengalami gangguan internet, kawasan tanpa liputan telekomunikasi atau titik buta (blind spot), serta perkampungan yang masih belum menikmati sebarang perkhidmatan telekomunikasi.
Cabaran bentuk muka bumi Lawas yang berbukit-bukau dan dilitupi hutan tebal memerlukan pendekatan yang bersesuaian, termasuk penggunaan teknologi satelit dan pembinaan menara telekomunikasi konvensional.
Bagi kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk rendah, teknologi satelit seperti Starlink boleh menjadi antara pilihan untuk menyediakan akses internet, manakala pembinaan menara telekomunikasi akan diteruskan di kawasan penempatan yang lebih besar.
Usaha memperluas liputan internet di Lawas turut disokong oleh inisiatif kerajaan Sarawak melalui SDEC menerusi projek menara Smart 600. Penyelarasan infrastruktur antara projek Jendela dan Smart 600 bertujuan mempercepat peluasan liputan telekomunikasi di utara Sarawak.
Bagaimanapun, penduduk Lawas masih berdepan gangguan internet ketika usaha membaiki kerosakan kabel terus dilaksanakan.
Pelaksanaan projek Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) juga memberi kesan kepada perkhidmatan telekomunikasi di daerah itu apabila kabel sedia ada perlu dipindahkan bagi menyesuaikan laluan baharu lebuh raya berkenaan.
Justeru, kerjasama antara agensi Persekutuan dan kerajaan Sarawak amat penting bagi memastikan perancangan menaik taraf telekomunikasi dapat dilaksanakan dengan lebih terselaras, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan capaian internet untuk penduduk Lawas.
Oleh Adeng Edrus




