KUALA LUMPUR: Pereka fesyen tersohor tanah air, Hatta Dolmat bakal meraikan dua dekad penglibatannya dalam industri fesyen menerusi koleksi khas yang menggabungkan seni visual, lukisan dan ilustrasi pada pertunjukan penutup Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 di Esplanade, KLCC dari 3 hingga 9 Ogos depan.
Pemilik nama sebenar Muhammad Hatta Dolmat, 44, berkata koleksi itu mencerminkan perjalanan kreatifnya selama 20 tahun dalam dunia fesyen, selain mengangkat sisi dirinya sebagai pencinta seni yang dipupuk sejak kecil sebelum menceburi bidang berkenaan.
“Alhamdulillah, saya diberi kepercayaan untuk mengadakan pertunjukan penutup. Slot ini sangat bermakna kepada setiap pereka kerana kalau bukan pertunjukan pembukaan, pertunjukan penutup ialah kemuncak keseluruhan acara.

“Tahun ini, saya akan membawakan perjalanan 20 tahun dalam dunia fesyen selain memperlihatkan siapa saya sebelum fesyen kerana asas saya sebenarnya bermula daripada seni dan minat melukis,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran KLFW 2026 di sini semalam.
Hatta berkata pertunjukan berkenaan dibahagikan kepada dua segmen iaitu Linger, yang menampilkan 22 rekaan sedia dipakai (ready to wear-RTW), serta Jiwa (Soul) yang menghimpunkan sekurang-kurangnya 10 rekaan berkonsepkan fantasi.
Beliau berkata segmen Linger mengetengahkan motif orkid dan kaktus, selain cetakan pemandangan matahari terbenam di tepi laut yang diinspirasikan daripada kenangan zaman kanak-kanaknya di Kuala Sungai Baru, Melaka.
“Linger ialah perasaan dan memori yang sentiasa bersama kita. Walau sejauh mana kita pergi, keluarga dan kampung halaman tetap menjadi tempat kita kembali kepada asal-usul,” katanya.
Beliau berkata segmen itu juga merupakan penghargaan kepada ibu bapanya yang sentiasa menyokong minat terhadap seni sejak kecil.
Hatta berkata segmen Jiwa (Soul) pula menghidupkan semula elemen fantasi yang pernah menjadi identitinya ketika memulakan kerjaya dalam industri fesyen sekitar 20 tahun lepas.
Beliau berkata penghasilan koleksi itu merupakan cabaran terbesar kerana mengetengahkan elemen fantasi, kisah dongeng dan imaginasi yang semakin jarang diterokai dalam industri fesyen tempatan.
“Saya mahu membawa kembalikan kemeriahan fesyen seperti dahulu. Fesyen bukan hanya mengenai pakaian yang boleh dibeli atau dipakai, tetapi juga ruang untuk pereka menampilkan imaginasi dan jiwa mereka.
“Koleksi ini mungkin tidak dijual atau dibeli, tetapi inilah jiwa dan sisi Hatta yang pernah dikenali peminat suatu ketika dahulu,” katanya.
Beliau berkata koleksi itu juga dihasilkan bagi memberi inspirasi kepada pereka muda dan peminat bahawa fesyen tidak terbatas kepada nilai komersial semata-mata, sebaliknya turut menjadi medium ekspresi seni dan kreativiti.
Mengulas kemungkinan konsep itu dianggap mengulangi idea lama, Hatta berkata fesyen sentiasa berevolusi dan pendekatan berkenaan selari dengan kebangkitan semula fesyen tempahan eksklusif (couture) serta fesyen mewah di Eropah.
KLFW 2026 dijangka menghimpunkan sekitar 60 jenama tempatan, 35 pereka fesyen dan lebih 20 rakan strategik industri dalam usaha memperkukuh ekosistem fesyen Malaysia.
Selain pertunjukan fesyen, acara itu turut menampilkan pameran jenama, sesi padanan perniagaan, perkongsian industri serta pelbagai aktiviti libat urus melibatkan pemain industri fesyen dan gaya hidup. – Bernama




