SRI AMAN: Sambutan Hari Malaysia ke-57 pada tahun ini akan menjadi amat bermakna buat seorang wanita warga emas yang dikenali sebagai Malaysia Andut dari Rumah Anyi, Gran C di sini.
Dilahirkan pada 16 September 1963, wanita warga emas itu bukan saja menyambut Hari Lahir ke-57 pada Selasa lalu, malah turut bergembira setelah MyKadnya yang rosak sebelum ini sudah pun diganti oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Bahagian Sri Aman.
Kerja mengganti MyKad untuk wanita warga emas berkenaan telah pun dilaksana oleh Unit MEKAR JPN Sri Aman menerusi Khidmat Mobile Ehsan yang diketuai oleh Siti Razwin Almin dan tiga kakitangan jabatan tersebut.
“Malaysia sudah uzur dan mengalami kesukaran untuk bergerak. Dia sebelum ini telah memohon bantuan daripada pihak kita untuk mengurus MyKadnya yang telah rosak sebelum ia berjaya diselesaikan menerusi satu operasi pendaftaran bagi tujuan itu,” kata Siti.
Selain Malaysia, pihak Unit MEKAR JPN Sri Aman juga turut bertindak melaksana Khidmat Mobile Ehsan untuk Nawai Tuah dari Taman Tiara, Jalan Brayun yang telah kehilangan MyKad sebelum ini.
“Masalah sukar bergerak telah menarik Unit MEKAR JPN Sri Aman yang kemudiannya bertindak membantu wanita warga emas itu untuk mendaftar dan mendapatkan semula MyKad untuk dirinya menerusi Khidmat Mobile Ehsan,” kata Siti.
Terdahulu upacara ringkas penyerahan MyKad kepada kedua-dua wanita warga emas berkenaan telah pun dilakukan oleh Pegawai Pendaftaran Bahagian JPN Sri Aman iaitu Mas Shamshuddin Mohammad.
Beliau memberitahu Unit MEKAR baru sahaja ditubuhkan di JPN Sri Aman pada tahun ini dan turut ditubuh di JPN UTC Miri, JPN Bintulu, JPN UTC Sibu, JPN Kapit dan JPN Ibu Pejabat Kuching “Seiring dengan perkembangan semasa, JPN telah pun melaksana rasionalisasi perkhidmatan dengan membuat penjenamaan semula Unit Khas Bergerak (UKB) kepada Unit MEKAR ( Unit Menyemai Kasih Rakyat).
“Dengan adanya Unit MEKAR ini maka JPN akan dapat membantu penduduk setempat terutama sekali warga emas, Orang kelainan upaya (OKU) serta mereka yang uzur dalam urusan berkaitan dengan dokumen pengenalan diri kelak,” katanya.
Shamshuddin turut menambah bahawa Unit MEKAR juga akan meluaskan fungsi mereka dalam melaksana operasi prihatin melibatkan kebakaran rumah, penempatan pesakit mental, rumah kebajikan, operasi ke pusat penjara dan operasi di PULASAR khusus untuk anggota polis yang baharu dilantik.
“Kita akan berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaras dengan slogan “Rakyat Di Hati JPN”,” kata Shamsuddin sambil menambah sebarang pertanyaan berkaitan Unit MEKAR di sini boleh dibuat dengan menghubungi JPN Bahagian Sri Aman di talian 083-325095.