
BINTANGOR: Sambutan Hari Gawai bukan sekadar sebuah perayaan, malah menjadi lambang perpaduan serta warisan budaya masyarakat Dayak yang perlu terus dipelihara dan dihargai oleh generasi muda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, sambutan tersebut turut memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuhkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
“Majlis diadakan sebagai usaha menyantuni komuniti setempat khususnya golongan yang memerlukan agar mereka turut merasai kegembiraan sambutan Hari Gawai.
“Inisiatif seperti ini bukan sahaja dapat meringankan beban penerima, malah memberi kegembiraan dan semangat kepada mereka untuk menyambut Hari Gawai dengan lebih bermakna bersama keluarga dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Sejambak Kasih Hari Gawai 2026 Bahagian Sarikei anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei di Dewan Masyarakat Meradong, semalam.
Koung Hiing turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak serta Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei atas kejayaan menganjurkan program tersebut.
“Bantuan dan sumbangan yang disampaikan mencerminkan keprihatinan kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara terutama golongan yang memerlukan perhatian dan bantuan,” katanya.
Tambahnya, sambutan Hari Gawai bukan sahaja kaya dengan adat istiadat dan nilai kekeluargaan, malah menjadi medium penting dalam memupuk semangat hormat-menghormati antara masyarakat berbilang kaum.
Beliau juga menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha kebajikan yang selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) demi memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkasa.
Turut hadir, Timbalan Pengarah JKM Sarawak, Norhayati Abdul Rahman dan wakil Pegawai Daerah Meradong, Alice Sat.
Oleh Earl Anek