SARIKEI: Perpaduan merupakan hadiah yang tidak ternilai dan mesti dipertahan dan dihargai oleh segenap lapisan rakyat, kata Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh.
Katanya, isu perpaduan mungkin dianggap biasa oleh segelintir pihak, namun ia merupakan cabaran terbesar kepada Malaysia dalam mencapai status negara maju dan membangun pada masa depan.
“Justeru, langkah Kementerian Perpaduan mendapatkan maklum balas rakyat amat penting bagi membendung isu sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan antara agama dan kaum.
“Penting bagi kita untuk mengingatkan mengenai komitmen yang diberikan dan yang akan kita sambungkan untuk tahun-tahun akan datang terutama sekali untuk anak-anak muda kerana kita telah mengalami satu jangka masa yang begitu lama dalam keadaan harmoni.
“Kita tinggal dalam keadaan aman dan harmoni dan harap ia terus begini selamanya. Untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian ini, kita harus bekerjasama dan membina kekuatan kita,” katanya.
Len Talif yang juga Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Maklum Balas Rakyat Berhubung Draf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 di Dewan Pusat Aktiviti Perpaduan Sarikei, semalam.
Beliau berkata, respon positif rakyat terhadap PTPN dapat membantu usaha kerajaan meningkatkan semula penghayatan prinsip rukun negara dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
“Pelan tindakan itu diharapkan mampu memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia khususnya Sarawak.
“Sesi maklum balas secara atas talian atau bersemuka yang dilaksanakan Kementerian Perpaduan Negara ini amat penting bagi meningkatkan kefahaman rakyat terhadap konsep perpaduan melalui pendekatan baharu sesuai dengan perkembangan era digital.
“Ini merupakan satu pendekatan baharu Kementerian Perpaduan Negara dengan melibatkan semua peringkat masyarakat daripada jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), ketua masyarakat dan ketua kaum untuk memberi input, merangka pelan, bagi memantapkan lagi perpaduan antara kaum,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Residen Sarikei, Abang Mohd Porkan Abang Budiman dan Pegawai Perpaduan Bahagian Sarikei, Mohamad Dohan Wahid.
Oleh Earl Anek