KUCHING: Kawalan dan pengawasan terhadap harga tiket penerbangan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kata Fazzrudin Abdul Rahman.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak itu merujuk kenyataan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen yang mendesak kerajaan Sarawak untuk campur tangan dalam menangani isu kenaikan harga tiket penerbangan.
Menurut Fazzrudin, adalah lebih mudah bagi Chong untuk terus berhubung dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang juga Setiausaha Agung DAP, bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Saya hairan mengapa Chong tidak terus berhubung dengan bosnya sendiri, sebaliknya mendesak kerajaan Sarawak untuk campur tangan.
“Persoalannya, mengapa beliau tidak mempercayai bosnya sendiri?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Fazzrudin turut mengalu-alukan minat Chong terhadap cadangan pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak, yang menunjukkan bahawa pihak pembangkang turut menyokong usaha Sarawak untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri bagi memenuhi keperluan mendesak dalam aspek kesalinghubungan udara.
“Ini jelas menunjukkan sokongan, walaupun sebelum ini beberapa pemimpin DAP Sarawak mempersoalkan cadangan tersebut dan kelayakannya, meskipun masalah berkaitan penerbangan ke Sarawak kerap berulang,” katanya.
Fazzrudin turut memaklumkan bahawa seperti yang diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada April lalu, pengambilalihan MASwings kini berada dalam peringkat perbincangan yang melibatkan aspek teknikal dan dijangka bermula tahun depan.
“Apabila beroperasi nanti, ia akan menjadi pencapaian penting dalam meningkatkan kesalinghubungan dan aksesibiliti udara di rantau ini serta memastikan persaingan dalam harga tiket, yang akan mengelakkan monopoli harga tiket penerbangan,” katanya.
Pada masa sama, kerajaan Sarawak masih meneruskan subsidi tiket penerbangan kepada pelajar Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi melalui skim Graduan Pulang Sarawak (iGPS).
Skim ini memberi manfaat kepada kira-kira 12,000 pelajar setiap tahun, yang boleh memohon dua kali setahun dan menerima subsidi sehingga RM600 untuk penerbangan mereka.
“Skim ini mengurangkan beban pelajar dan ibu bapa dalam membayar tambang penerbangan untuk pulang ke rumah, sambil kerajaan Sarawak berusaha merealisasikan syarikat penerbangan sendiri untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal