Eksklusif: Sarawak wajar terima 50 peratus hasil cukai – Lo Khere Chiang

Facebook
WhatsApp
DATO Lo Khere Chiang.

KUCHING: Sarawak wajar menerima 50 peratus daripada hasil cukai yang dikutip dari negeri itu sekiranya janji yang pernah dibuat Pakatan Harapan (PH) mengenai perkara berkenaan dijadikan penanda aras.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Lo Khere Chiang, berkata pendirian berhubung bayaran interim di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah jelas, khususnya mengambil kira janji yang pernah dibuat pemimpin PH termasuk Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen.

“Mengenai bayaran interim di bawah MA63, pendirian saya amat jelas. Sekiranya PH, melalui pemimpin-pemimpinnya termasuk Chong Chien Jen, sebelum ini berjanji secara terbuka dan jelas bahawa 50 peratus daripada semua hasil cukai yang dikutip dari Sarawak akan dikembalikan kepada Sarawak, maka itulah penanda aras yang sepatutnya menjadi asas perbincangan.

“Justeru, apabila ditanya berapa jumlah yang sepatutnya diterima Sarawak, jawapannya mudah iaitu 50 peratus daripada hasil cukai yang dikutip dari Sarawak, seperti yang dijanjikan oleh PH,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.

Isu pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah merupakan antara perkara yang termaktub di bawah MA63 dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan pemberian khas kepada kedua-dua negeri berkenaan.

Pemberian tersebut sepatutnya tertakluk kepada semakan setiap lima tahun, namun bayaran berkenaan tidak dilaksanakan secara konsisten oleh Kerajaan Persekutuan sejak beberapa dekad lalu.

Bayaran pertama kepada Sarawak dibuat pada 1965 sebanyak RM4 juta sebelum digandakan kepada RM8 juta pada 1966, manakala pada 1969, jumlah berkenaan meningkat kepada RM16 juta.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sebelum ini turut mendedahkan bahawa pemberian khas tersebut dihentikan selepas 1969.

Beliau mendedahkan perkara itu dalam program podcast ‘Keluar Sekejap’ pada 16 September 2023, ketika menjelaskan bahawa Sarawak dan Sabah tidak menerima pemberian khas tahunan seperti yang diperuntukkan.

Kerajaan Persekutuan kemudian mula mengiktiraf perkara berkenaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Pemberian Khas sebanyak RM300 juta masing-masing kepada Sarawak dan Sabah pada 2023.

Jumlah berkenaan kemudiannya dinaikkan kepada RM600 juta mulai tahun ini berbanding RM300 juta sebelum ini, namun ia masih dianggap sebagai bayaran interim sementara menunggu penetapan kadar pemberian khas secara tetap.

Lo berkata, persoalan mengenai jumlah yang wajar diterima Sarawak perlu dilihat berdasarkan komitmen dan janji yang pernah dibuat terhadap negeri itu.

“Jumlah yang sepatutnya diterima Sarawak ialah 50 peratus daripada hasil cukai yang dikutip dari Sarawak, seperti yang dijanjikan oleh PH,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat