Eksklusif: Jamin satu pertiga, tambahan 25 kerusi Sabah-Sarawak mesti dimuktamadkan 

Facebook
WhatsApp
DATO Ir. Yusuf Abd Wahab

SARIKEI: Sabah dan Sarawak mesti diberikan jaminan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat bagi memastikan kuasa, hak dan kedudukan kedua-dua wilayah dalam Malaysia tidak boleh diubah dengan mudah tanpa mengambil kira suara mereka.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab, berkata tuntutan semasa melibatkan tambahan 25 kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, dan jumlah itu perlu direalisasikan sepenuhnya.

“Jumlah pertambahan kerusi Parlimen yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak adalah 25 kerusi.

“Sekiranya pertambahan kerusi yang diluluskan kurang daripada 25 kerusi, saya akan mengalu-alukan berapa sahaja pertambahan kerusi pada masa ini dengan jaminan kesemua 25 kerusi yang dituntut akan ditunaikan kemudian,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.

Yusuf yang juga Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Meradong berkata demikian ketika diminta mengulas persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan nisbah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, namun tanpa penyataan khusus mengenai tuntutan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.

Beliau menegaskan bahawa penambahan beberapa kerusi sahaja belum memadai tanpa jaminan bahawa Sabah dan Sarawak kelak akan memiliki sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen.

“Sabah dan Sarawak perlu diberi jaminan sekurang-kurangnya satu pertiga dari jumlah keseluruhan kerusi Parlimen,” katanya.

Katanya, nisbah tersebut penting sebagai mekanisme perlindungan terhadap kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.

“Nisbah satu pertiga merupakan perlindungan supaya kuasa, hak dan kedudukan Sarawak dalam Malaysia tidak boleh diubah dengan mudah tanpa mengambil kira suara Sarawak dan Sabah,” katanya.

Beliau turut bersetuju sekiranya jumlah kerusi Parlimen di Semenanjung ditambah pada masa depan, jumlah kerusi Sabah dan Sarawak juga perlu diselaraskan bagi memastikan nisbah satu pertiga terus dikekalkan.

Yusuf juga mahu jaminan tersebut dinyatakan dengan jelas menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan dan bukan sekadar bergantung kepada penambahan bilangan kerusi dari semasa ke semasa.

“Setuju dinyatakan dengan jelas dalam pindaan Perlembagaan,” katanya.

Ditanya sama ada penambahan kerusi yang masih belum mencapai nisbah satu pertiga boleh dianggap memenuhi tuntutan sebenar Sarawak, beliau berkata ia tidak memenuhi tuntutan sebenar Sarawak.

“Tidak memenuhi tuntutan sebenar Sarawak. Mesti dapat satu pertiga akhirnya. Bagaimanapun, pertambahan interim adalah dialu-alukan buat masa ini dengan jaminan kesemua 25 kerusi yang dituntut akan ditunaikan kemudian,” katanya lagi.

Justeru, beliau berharap tuntutan tambahan 25 kerusi bagi Sabah dan Sarawak dapat dipersetujui dan dimuktamadkan secepat mungkin.

“Saya mohon supaya tuntutan jumlah 25 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak dipersetujui dan dimuktamadkan pada Sidang Parlimen yang akan datang,” tegasnya.

Oleh Earl Anek

Tiga kawasan catat IPU sangat tidak sihat

KUCHING: Keadaan kualiti udara di Sarawak terus merosot apabila tiga stesen pemantauan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat