Harga minyak mentah Brent cecah lebih AS$100 setong didorong konflik AS-Iran memuncak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 setong hari ini berikutan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran yang kian memuncak, meningkatkan semula kebimbangan mengenai bekalan tenaga global.

Harga minyak mentah Brent yang menjadi penanda aras global menurun 0.63 peratus kepada AS$100.10 setong pada 9.43 pagi susulan serangan tentera AS berturut-turut ke atas Iran. 

Harga minyak yang tinggi biasanya menyebabkan petrol dan diesel menjadi lebih mahal.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ketegangan yang meningkat itu kini sebahagian besarnya terletak pada Iran dan jika Tehran atau kumpulan Houthi yang menjadi sekutunya terus menyerang kapal di Selat Hormuz atau Laut Merah, AS dijangka mengambil tindakan balas membawa serangan balas antara kedua-dua pihak kepada fasa yang jauh lebih berbahaya.

Pada Rabu lepas, harga minyak melonjak selepas militia Houthi di Yaman menyerang kapal tangki minyak di Laut Merah, mengancam laluan eksport utama yang telah digunakan oleh Arab Saudi untuk memintas Selat Hormuz.

Beliau berkata risiko akan meningkat dengan ketara jika Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menyasarkan infrastruktur tenaga di negara-negara jiran berikutan tindakan sedemikian boleh meningkatkan konflik dan menyebabkan gangguan bekalan sedia ada lebih serius pada ketika penampan inventori global telah berada di bawah tekanan yang ketara.


Kontrak West Texas Intermediate melonjak 5.74 peratus kepada AS$80.01 setong, manakala Brent melonjak 5.67 peratus kepada AS$84.42.

“Seperti yang dapat dilihat sebelum ini, keadaan ini boleh berubah dengan cepat jika terdapat petunjuk diplomasi ke arah perdamaian tetapi buat masa ini, itu bukan senarionya untuk tempoh jangka pendek.

“Oleh itu, ya, harga minyak dijangka kekal tinggi dalam tempoh dua minggu akan datang.

“Dalam tempoh dua minggu ini, saya menjangka harga minyak mentah Brent akan berada dalam julat antara AS$95 dan AS$105. Bagaimanapun, semakin lama ketegangan yang meningkat berterusan, harga dijangka naik lebih tinggi sehingga kita mencapai tahap apabila permintaan mula berkurangan, yang diunjurkan pada paras AS$120,” katanya kepada Bernama.

Minyak mentah Brent meningkat kira-kira 65.5 peratus setakat ini pada tahun ini berdasarkan paras ditutup pada AS$100.69 pada Khamis berbanding harga penyelesaian pada 31 Disember 2025 sebanyak AS$60.85. 

Harga minyak stabil baru-baru ini berikutan gencatan senjata sementara AS-Iran.

Awal hari ini, AS melancarkan serangan pada malam ke-13 berturut-turut ke atas Iran susulan laporan bahawa pegawai Iran telah menolak cadangan gencatan senjata AS yang dibawa ke Tehran oleh pemimpin Iraq.

Naib Presiden Pasaran Komoditi (minyak) Rystad Energy Janiv Shah berkata hala tuju harga minyak akhirnya akan bergantung pada tiga faktor seiring dengan perkembangan konflik, sama ada aliran minyak mentah ke Asia dapat dikekalkan, sama ada syarikat penapisan dapat membuat penyesuaian dengan perubahan campuran gred minyak mentah dan perkembangan geopolitik selepas ini.

“Kebarangkalian harga yang lebih tinggi meningkat apabila konflik memuncak tetapi tahap peningkatan itu bergantung pada bagaimana dinamik pasaran itu berkembang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Janiv berkata eksport Arab Saudi dari Pelabuhan Yanbu, sebuah hab tenaga dan perkapalan utama Arab Saudi di pantai Laut Merah, kekal kritikal kerana kira-kira 4 juta tong sehari (bpd) keluar dari terminal tersebut, dengan sekitar 2.5 juta tong sehari terus dihantar ke arah selatan melalui Bab el-Mandeb.

Beliau berkata ini mengandaikan laluan itu terus beroperasi walaupun ancaman semasa dan serangan baru-baru ini menyebabkan kos pengangkutan dan insurans meningkat.

Katanya jika dinamik aliran pasaran semasa berterusan dan/atau lebih buruk, harga dijangka meningkat untuk tempoh beberapa minggu akan datang berdasarkan defisit keseimbangan minyak mentah dan cecair global.

“Langkah mengeluarkan rizab petroleum strategik dapat mengehadkan lonjakan harga tetapi tidak dapat mengatasi ketidakpadanan jenis minyak mentah.

“Kilang penapisan di Asia kekurangan minyak mentah asas yang mungkin menjejaskan operasi penapisan walaupun terdapat minyak bertapis sekali gus mengekang margin lebih tinggi bagi menampung permintaan bekalan penuh dan ini menyebabkan diesel kekal kukuh,” katanya. – Bernama