Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Harga minyak melonjak akibat ketegangan terbaharu Selat Hormuz
  • BISNES

Harga minyak melonjak akibat ketegangan terbaharu Selat Hormuz

Utusan Sarawak 6 hours ago

Harga minyak melonjak selepas UAE diserang peluru berpandu dan dron susulan kapal perang AS merentasi Selat Hormuz. Foto AFP

NEW YORK: Harga minyak melonjak pada Isnin selepas serangan dron mencetuskan kebakaran di sebuah fasiliti tenaga Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekali gus mengancam gencatan senjata rapuh antara Amerika Syarikat dan Iran, ketika kapal perang AS memasuki laluan penting Selat Hormuz.

Seoul dan Taipei mencatat paras tertinggi baharu apabila pedagang Asia menyertai lonjakan saham teknologi, namun indeks ekuiti AS berundur daripada penutupan rekod minggu lalu.

Harga minyak meningkat, dengan penanda aras antarabangsa Brent bagi penghantaran Julai melonjak lebih lima peratus susulan serangan dron di emiriah Fujairah. 

Kementerian pertahanan UAE kemudian memaklumkan bahawa serangan dron dan peluru berpandu Iran menyasarkan negara itu.

Sebelum itu, Tentera Laut AS menyatakan kapal pemusnahnya melalui Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada misi baharu melindungi perkapalan yang diumumkan oleh Donald Trump pada hujung minggu lalu.

Pasukan Tehran secara efektif menutup selat tersebut—laluan utama penghantaran minyak dan gas—sebagai tindak balas terhadap kempen ketenteraan AS-Israel yang bermula 28 Februari, manakala Washington terus mengekalkan sekatan ke atas pelabuhan Iran.

Indeks utama saham AS telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan kedua-dua S&P 500 dan Nasdaq mencatat rekod pada Jumaat, dalam lonjakan yang mengejutkan sesetengah pemerhati pasaran walaupun harga minyak meningkat.

Namun pada Isnin, pelabur mengambil peluang untuk mengaut keuntungan. 

Ketegangan di Asia Barat “menjadi alasan baik untuk mengeluarkan sebahagian keuntungan,” kata penganalisis Briefing.com, Patrick O’Hare, yang menyifatkan pergerakan pasaran itu sebagai aktiviti pengambilan untung.

Walaupun situasi di Asia Barat masih membimbangkan, “pasaran ketika ini tidak terlalu risau tentang senario terburuk perang Iran,” katanya lagi.

Laporan kewangan yang melebihi jangkaan minggu lalu daripada Apple, Google, Microsoft dan Samsung kembali menyemarakkan minat terhadap sektor kecerdasan buatan (AI) selepas kegawatan pasaran akibat serangan AS-Israel ke atas Iran pada akhir Februari.

Terdapat “keyakinan bahawa AI terus menampan tekanan di sektor lain,” kata penganalisis Swissquote, Ipek Ozkardeskaya.

Kalendar pendapatan minggu ini merangkumi laporan daripada Disney, Pfizerdan McDonald’s.

Di tempat lain, Seoul melonjak lebih lima peratus dan Taipei meningkat lebih empat peratus untuk mencapai rekod baharu. 

Gergasi cip Korea Selatan SK hynix mencatat lonjakan 12.5 peratus, manakala pesaingnya Samsung naik lebih lima peratus. Syarikat Taiwan TSMC pula meningkat 6.6 peratus.

Paris dan Frankfurt menamatkan dagangan dengan penurunan lebih satu peratus. Tokyo, Shanghai dan London ditutup sempena cuti. – AFP

Continue Reading

Previous: Bursa Malaysia dibuka rendah disebalik ketegangan di Asia Barat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.