SIMANGGANG, 5 Oktober: Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, menegaskan beliau kekal sebagai wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan bersedia mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) akan datang.
Beliau berkata, hasrat untuk terus mempertahankan kerusi berkenaan adalah sebagai calon GPS daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), sekali gus meneruskan khidmat kepada masyarakat di kawasan Simanggang.
“Saya masih lagi wakil rakyat GPS dan akan mempertahankan kerusi DUN Simanggang sebagai calon GPS daripada SUPP pada PRN13 akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Merarau sempena sambutan Pesta Kuih Bulan anjuran Persatuan Hopoh Malaysia Cawangan Sri Aman, di sini, semalam.
Harden, 70, mula dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada PRN Sarawak 1996 dan kini telah berkhidmat selama enam penggal sebagai wakil rakyat bagi kawasan Simanggang.
Tempoh khidmatnya yang mencecah kira-kira 30 tahun itu menjadikan beliau antara tokoh politik tempatan yang mempunyai pengalaman luas dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat serta pembangunan kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Hopoh Malaysia Cawangan Sri Aman atas penganjuran majlis berkenaan yang bukan sahaja menjadi medan untuk mengeratkan hubungan masyarakat, malah turut berperanan dalam memelihara warisan budaya.
Menurutnya, sambutan Pesta Kuih Bulan penting dalam memperingati serta mengekalkan warisan budaya dan tradisi masyarakat Cina supaya generasi muda terus mengenali dan menghargai budaya nenek moyang yang menjadi sebahagian daripada identiti serta sejarah masyarakat.
Majlis tersebut turut diisi dengan penyampaian angpau penghargaan kepada ahli Persatuan Hopoh yang berusia 70 tahun ke atas, termasuk acara simbolik memotong kek bersama dua ahli tertua yang masing-masing berusia 93 dan 84 tahun serta masih sihat.
Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada anak-anak ahli yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik menerusi penyampaian insentif galakan pendidikan.
Harden berkata, usaha tersebut amat baik dalam memberikan motivasi kepada para pelajar, selain menunjukkan sokongan persatuan terhadap bidang pendidikan bagi melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana bersabar menunggu kelapangan masa sebelum beliau berkesempatan hadir memeriahkan majlis tersebut.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Hopoh Malaysia Cawangan Sri Aman kerana berjaya menganjurkan majlis yang penuh bermakna ini,” katanya.
Pada majlis sama, Harden yang juga ADUN Simanggang meluluskan peruntukan Projek Mesra Rakyat (MRP) berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Hopoh Malaysia Cawangan Sri Aman.
Turut menerima peruntukan ialah Persatuan Hakka Sri Aman yang menerima RM20,000.
Oleh Adi Safarman




