
SARATOK: Perpaduan yang terjalin kukuh dan keharmonian serta toleransi yang sangat tinggi di antara semua komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka memudahkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan wakil rakyatnya merancang dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan dengan jayanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata ia meliputi pembangunan daripada Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) dan sebagainya.
“Hanya perpaduan yang terjalin kukuh dan keharmonian serta toleransi yang sangat tinggi di antara semua komuniti boleh membawa pembangunan dan kesejahteraan di Sarawak.
“Kerajaan GPS sentiasa berusaha untuk membawa pembangunan ke setiap pelusuk Sarawak supaya boleh dinikmati oleh segenap masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Kebolehan kerajaan Sarawak dibawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam mencari dan mengusahakan pelbagai cara untuk memperoleh sumber pendapatan dalaman menunjukkan usaha kerajaan Sarawak membuahkan hasil dengan peningkatan pendapatan saban tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Saratok dan Persatuan Muzik Sehati Saratok dan Kelab Seni Tari Saratok dekat sini, semalam.
Mohamad Duri berkata Sarawak kini telah membangun dengan pesat atas faktor kebijaksanaan pemimpin negeri yang berwibawa, kelestarian politik yang stabil serta teras perpaduan masyarakat yang bersatu dalam kepelbagaian.
“Kita mesti terus bersatu padu dan bergerak maju ke hadapan sebagai satu pasukan yang mantap dan justeru itu, semua pihak perlu berganding bahu mengekalkan keamanan dan perpaduan yang dikecapi selama ini supaya tidak tergugat dan diracuni oleh unsur-unsur luar,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Duri menyatakan pelbagai program dan aktiviti telah dicadangkan untuk dilaksanakan pada tahun ini bagi komuniti Cina di Saratok.
Rombongan yang diketuai oleh Phang Puk Kung turut membincangkan beberapa projek pembangunan bagi komuniti Cina di kawasan DUN Kalaka dan juga bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SKJ) Min Syn Saratok.
Oleh Adi Saparman