Hampir dua hektar hutan simpan Samunsan di Lundu terbakar

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN di Hutan Simpan Samunsan, Lundu memasuki hari kedua hari ini, dengan kawasan terbakar dianggarkan seluas hampir dua hektar.

KUCHING: Kebakaran hutan di Hutan Simpan Samunsan di Lundu yang memasuki hari kedua hari ini dianggarkan melibatkan kawasan seluas kira-kira dua hektar.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii ketika dihubungi berkata operasi pemadaman akan melibatkan unit udara bomba dari Miri sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.

Katanya operasi berkenaan dijangka bermula petang ini bagi membantu memadam kebakaran di kawasan yang sukar diakses pasukan bomba melalui laluan darat.

OPERASI pemadaman turut melibatkan sembilan anggota Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan 11 anggota JBPM Sarawak.

Sementara itu, JBPM Sarawak dalam kenyataan memaklumkan antara kekangan dihadapi pasukan bomba termasuk laluan masuk ke lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan besar, selain ketiadaan sumber air serta keadaan kawasan berbukit.

“Seramai 11 anggota dari Balai Bomba Lundu digerakkan bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux.

“Operasi turut dibantu sembilan anggota daripada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan maklumat operasi pemadaman serta pemantauan akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.- Bernama