
KUALA LUMPUR: Hala tuju kerjaya bekas juara dunia keirin Datuk Mohd Azizulhasni Awang akan diketahui Sabtu ini, kata Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill.
Beliau berkata satu sidang media bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, PKBM dan Mohd Azizulhasni dijangka diadakan pada 4.30 petang, dengan butiran penuh mengenai perancangan pelumba negara itu akan dimaklumkan.
“Datuk Azizulhasni telah berbincang dengan Menteri Hannah Yeoh, dan saya sendiri telah berbincang dengan beliau sebelum ini. Pada mulanya, kita mahu adakan sidang media pada Mac, semasa bulan puasa.
“Tetapi disebabkan kekangan masa dan sebagainya, ia ditunda ke Sabtu ini,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pperjanjian penajaan selama empat tahun antara Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan syarikat pakaian sukan tempatan iSports, di sini hari ini.
Amarjit yang juga Presiden ACC berkata PKBM akan menyokong apa-apa saja keputusan yang akan dibuat oleh The Pocket Rocketman kelak.
“Beliau telah banyak menyumbang kepada negara, tetapi saya tidak mahu mengulas lanjut,” katanya.
Mohd Azizulhasni, 36, adalah ikon skuad berbasikal trek negara dan antara atlet paling berjaya dalam sejarah sukan Malaysia dengan pencapaian pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016, kedua-duanya menerusi acara keirin.
Bagaimanapun pada Olimpik Paris 2024, penyertaan beliau dibatalkan ketika aksi pusingan pertama acara keirin kerana memotong derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer), sebelum derny meninggalkan trek, selain tewas dalam saingan 1/8 dan tersingkir di repechages acara pecut.
Sementara itu, Amarjit berkata tajaan bernilai AS$70,000 (kira-kira RM309,000) oleh iSports mencerminkan visi ACC untuk meningkatkan tahap sukan berbasikal di Asia serta menjadi detik membanggakan buat Malaysia.
“Malaysia bukan sahaja menjadi tuan rumah kepada banyak acara sukan antarabangsa, malah kini muncul sebagai hab strategik pembangunan sukan berbasikal di rantau ini. Kerjasama ini menonjolkan semangat kesatuan serantau serta pengaruh Malaysia yang semakin meningkat dalam sukan ini,” katanya.
Pengarah Genuine Marketing Enterprise Goh Seng Too yang mewakili iSports turut berkongsi rasa bangga menjadi sebahagian daripada kerjasama ini dan komited sepenuhnya untuk menyediakan produk berkualiti tinggi kepada atlet dan pasukan bertanding dalam kejohanan anjuran ACC. – Bernama