Guru ditemui meninggal dunia di tandas sekolah di Bau

Facebook
WhatsApp
MAYAT seorang guru wanita yang ditemui tidak sedarkan diri di SMK Bau dibawa ke Hospital Bau untuk proses bedah siasat.

BAU: Seorang guru wanita berusia 55 tahun ditemui tidak sedarkan diri di tandas guru wanita Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau hari ini, dengan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (LMM), kata Ketua Polis Bau, Supt Mohd Haide A Rahman.

Beliau berkata, polis menerima panggilan MERS 999 kira-kira 8.53 pagi yang memaklumkan seorang wanita pengsan di dalam tandas sekolah di Jalan Sebuku, Bau.

“Sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bau bersama Unit Rondaan Bermotosikal (MPV) dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) segera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di atas lantai tandas guru wanita,” katanya.

Mohd Haide berkata, mangsa berkhidmat sebagai guru mata pelajaran Sains dan Biologi di SMK Bau selama kira-kira 25 tahun.

Menurut beliau, berdasarkan keterangan rakan setugas, mangsa kali terakhir dilihat sekitar 8.15 pagi selepas memaklumkan bahawa beliau ingin ke tandas.

“Apabila mangsa gagal hadir ke kelas, rakannya pergi memeriksa tandas sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan segera menghubungi talian kecemasan,” katanya.

Beliau berkata, kematian mangsa disahkan oleh pembantu perubatan dari Hospital Bau pada 9.08 pagi.

“Pemeriksaan awal polis mendapati tiada sebarang kecederaan atau unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa,” katanya.

Mohd Haide berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bau untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Beliau menambah, kes disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut (LMM), manakala rakaman percakapan saksi akan diambil bagi membantu siasatan lanjut.

Oleh Connie Chieng