SELANGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang memuji usaha kreatif para pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) St. Mark dalam memanfaatkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang diberikan dengan bijak.
Menurut Gira, peruntukan sebanyak RM8,000 itu digunakan untuk memperbaiki kemudahan sekolah, termasuk pembelian bahan-bahan seperti cat, plywood, jaring, kain, dan langsir bagi perpustakaan sekolah.
“Hari ini saya menerima makluman daripada pihak sekolah SK St. Mark yang memberitahu bahawa mereka telah menggunakan peruntukan ini dengan baik.
“Ini adalah satu langkah yang bagus kerana banyak peruntukan yang diberi kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kadangkala tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, pihak sekolah turut mengucapkan terima kasih kepada Gira atas sumbangan tersebut dan berharap agar lebih banyak sumbangan dapat diberikan pada masa hadapan demi kemajuan pendidikan murid-murid di sekolah itu.
“Kami dapat melihat bahawa pelajar di sini mempunyai banyak potensi walaupun berada di kawasan luar bandar. Dengan memperbaiki persekitaran pembelajaran mereka, kami dapat membantu dalam merealisasikan impian mereka untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.
Oleh Tarani Lanting