PENJELASAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menjawab soalan pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Komemoratif UNIMAS di Kota Samarahan, semalam.
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan institusi yang lain untuk meningkatkan pengeluaran pertanian dan makanan melalui penyelidikan dan teknologi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini akan menyumbang ke arah matlamat kerajaan negeri menjadi pengeksport makanan bersih menjelang 2030 sekali gus menarik generasi muda menceburi bidang pertanian.
“Kelemahan kita dalam bidang pertanian ialah dalam pengeluaran iaitu kita tidak cekap dan tidak menghasilkan makanan berkualiti tinggi.
“Kini tiba masanya untuk kita menggunakan kaedah dan teknologi digital,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Komemoratif UNIMAS di Kota Samarahan di sini, semalam.
Justeru, katanya, beliau telah meminta UNIMAS untuk menubuhkan makmal di luar bandar bagi melatih petani muda menggunakan kaedah pertanian baharu seperti Internet of Things (IOT).
“Kita perlu mengubah persepsi pertanian sebagai pekerjaan yang sukar kepada yang melibatkan penggunaan teknologi bagi menarik minat golongan muda,” katanya.
Abang Johari berkata UNIMAS juga boleh menjalankan kajian mengenai kelapa dan nanas di kawasan Sebuyau dan Sebangan, termasuk cara meningkatkan hasil dan potensi hiliran.
“Sebagai contoh, kita boleh melihat untuk menghasilkan nanas tin dan jem nanas.
“Hasil juga penting. Jika kita mahukan hasil yang baik, kita perlu menggunakan teknologi,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, beliau telah meminta UNIMAS membuat kajian mengenai pengeluaran baja dan makanan ternakan daripada bahan mentah yang terdapat di negeri ini seperti sisa sawit.
“Sebab itu kita mahukan UNIMAS membuat kajian seperti ini, umpamanya makanan ternakan dan tidak semestinya bergantung kepada jagung kerana kita ada sisa kelapa sawit yang boleh menjadi makanan kepada ternakan.
“Dari sudut baja, kita ada gas yang boleh mengeluarkan baja, ini bermakna semua bahan-bahan mentah kita boleh menghasilkannya sendiri dan digunakan untuk industri bahan pertanian.
“Pada akhirnya kita tidak lagi bergantung seratus peratus dengan import,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO