KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengalu-alukan permohonan maaf daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumipitera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Katanya, langkah itu amat baik dan boleh membantu memperbaiki hubungan keruh antara dua parti selama ini.
“Adalah berbesar hati untuk Setiausaha Agung DAP Anthony Loke turun sendiri ke Kuching untuk berjumpa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Ia sangat bagus untuk gerak isyarat seperti ini, terutamanya apabila ia datang dari parti besar negara.
“Saya percaya tindakan sebegini akan membantu memperbaiki hubungan yang renggang selama ini,” katanya kepada media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Setiausahanya, Anthony Loke Siew Fook hari ini secara terbuka meminta maaf kepada kerajaan dan rakyat Sarawak sekiranya pemimpin parti itu menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak.
Permohonan maaf itu dikeluarkan melalui kenyataan mereka di facebook masing-masing. Malah Loke datang sendiri ke sini pagi tadi untuk menemui Abang Johari yang juga Pengerusi GPS bagi menyampaikan permohonan maaf itu secara bersemuka.
Abdul Karim juga yakin Premier Sarawak akan menerima dengan baik permohonan maaf itu.
“Saya percaya begitu (untuk memaafkan dan melupakan) kerana apabila orang datang dengan tangan yang bersih dan isyarat yang baik, kita tidak boleh mengatakan kita tidak menerima permohonan maaf,” katanya.
Mengenai sama ada GPS akan menuntut permohonan maaf daripada Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, Abdul Karim berkata”
“Bos besar telah pun meminta maaf jadi saya tidak fikir kita perlu (memerlukan permohonan maaf daripada orang tertentu).”
Oleh NUR AIN OTSMAN