
SIBU: Golongan wanita perlu merebut peluang keusahawanan dan memanfaatkan teknologi digital bagi menjana pendapatan tambahan serta memperkukuh ekonomi keluarga dalam menghadapi cabaran kos sara hidup masa kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, wanita memainkan peranan penting bukan sahaja dalam mengurus keluarga, malah mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan ekonomi keluarga melalui pelbagai aktiviti penjanaan pendapatan.
Menurutnya, bantuan kewangan yang disalurkan kepada Biro Wanita KRT Sungai Empawah sempena sambutan Hari Gawai 2026 diharap dapat dimanfaatkan untuk menjalankan aktiviti yang mampu meningkatkan taraf hidup keluarga.

“Antara aktiviti yang boleh diusahakan termasuk penghasilan dan penjualan makanan tradisional, kuih-muih, kraftangan, perkhidmatan jahitan, pertanian serta penternakan secara kecil-kecilan dan perniagaan dari rumah.
“Pada era digital hari ini, produk yang dihasilkan juga boleh dipasarkan secara dalam talian bagi mencapai pasaran yang lebih luas,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Bantuan Kewangan kepada Biro Wanita KRT Sungai Empawah sempena Hari Gawai 2026.
Beliau berkata, walaupun sesuatu perusahaan bermula secara kecil-kecilan, usaha yang berterusan, kesungguhan dan semangat tinggi mampu menjadikannya sebagai sumber pendapatan tetap kepada keluarga.
Tambahnya, penglibatan aktif wanita dalam bidang ekonomi bukan sahaja meningkatkan pendapatan isi rumah, malah membantu memenuhi keperluan pendidikan anak-anak serta memperbaiki taraf hidup keluarga secara keseluruhan.
Beliau berharap kerajaan serta agensi berkaitan akan terus menyediakan latihan, bimbingan dan bantuan kepada golongan wanita bagi meningkatkan kemahiran dan mengembangkan aktiviti ekonomi masing-masing.
Wong turut merakamkan penghargaan kepada KRT Sungai Empawah atas inisiatif menganjurkan program berkenaan dan menyalurkan bantuan kepada Biro Wanita sempena Hari Gawai.
Beliau turut menggesa masyarakat agar terus mengamalkan semangat “Segulai Sejalai”, saling membantu dan bekerjasama demi kemajuan serta kesejahteraan komuniti.
“Hari Gawai bukan sahaja menjadi medan mengeratkan silaturahim, malah platform untuk memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat,” katanya.
Majlis tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing.
Pada majlis tersebut, Tiong telah menyempurnakan penyampaian sumbangan khas Hari Gawai 2026 kepada 23 buah Biro Wanita di bawah Kawasan Rukun Tertanggan (KRT) Sungai Empawah.
Turut hadir Pengerusi KRT Sungai Empawah, kaunselor Wong Hua, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Joshua Ting serta yang lain
Oleh Akun Giman