
KUCHING: Golongan muda perlu diberi ruang dalam kepimpinan politik, manakala pemimpin lama diingatkan supaya tidak merajuk sekiranya digantikan, sebaliknya terus menyumbang demi kesinambungan organisasi.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, proses pembinaan kepimpinan merupakan satu perjalanan berterusan yang memerlukan kerjasama antara generasi lama dan baharu khususnya dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Ya, golongan muda digalakkan bersuara dan pemimpin lama perlu saling menyokong. Kita ini satu proses. Dalam PBB dan juga komponen lain, mereka perlu memberi ruang kepada orang muda.
“Ruang tersebut penting bagi membolehkan generasi muda belajar daripada pemimpin berpengalaman sebelum memikul tanggungjawab lebih besar pada masa hadapan.
“Kita semua pernah muda. Dengan pengalaman yang ada, apabila kita memikul tanggungjawab, kita mesti meneruskan kesinambungan kepimpinan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Tambah beliau, tahap keupayaan golongan muda adalah berbeza dan memerlukan bimbingan serta pendekatan yang sesuai.
“Ada yang bergerak cepat, ada yang sederhana dan ada yang perlahan. Ada yang cepat tetapi mudah jatuh. Jadi kita perlu ikut momentum. Perkara paling penting ialah keazaman dan kesabaran,” jelasnya.
Mengulas lanjut, peralihan kepimpinan perlu dilihat sebagai proses semula jadi dalam organisasi dan bukan punca perpecahan.
“Semua pihak sama ada golongan muda mahupun pemimpin lama perlu menerima perubahan dalam struktur kepimpinan dengan hati terbuka.
“Apabila orang muda meningkat usia, jangan kecewa. Kalau tidak capai apa yang diinginkan, jangan mudah berputus asa. Bagi orang lama pula, jika digantikan, jangan kecewa. Kita mesti ada keyakinan.
“Setiap pilihan raya akan menyaksikan pembaharuan dengan kemunculan muka baharu dalam parti, termasuk dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Kita perlu bergerak ke hadapan demi kesinambungan,” tambahnya.
Beliau menegaskan, proses tersebut hanya akan berjaya melalui pendekatan secara kolektif dan semangat kerjasama dalam kalangan semua pihak.
“Saya sendiri sudah berusia, tetapi semuanya mesti dilakukan secara kolektif melalui kerjasama,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah