
MANCHESTER, England: Matheus Nunes meledak gol kemenangan yang amat berharga pada masa kecederaan ketika Manchester City menundukkan musuh lima teratas Aston Villa 2-1 awal pagi tadi untuk mencerahkan peluang mereka melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.
Pasukan kendalian Pep Guardiola hanya beberapa saat dipisahkan daripada keputusan seri di Stadium Etihad selepas gol awal Bernardo Silva disamakan oleh penalti Marcus Rashford.
Namun jaringan saat akhir Nunes pada minit ke-94 mencetus kegembiraan bukan kepalang Guardiola dan pemainnya ketika mereka melonjak semula ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dengan perebutan bagi penamat lima teratas menuju kemuncak mendebarkan, pemain tengah Portugal, Nunes, yang beraksi di pertahanan kanan akhir-akhir ini, memilih masa terbaik untuk menyumbat gol sulungnya dalam liga bersama City.
Kemenangan ke-15 berturut-turut City dalam liga di laman sendiri menentang Villa tidak sehebat kebangkitan daripada ketinggalan dua gol yang membantu mereka meraih kejuaraan EPL pada hari terakhir musim 2021-22.
Namun ia terbukti hampir sama lumayan dengan tempat ke Liga Juara-Juara kini berada dalam jangkauan.
Dengan berbaki empat perlawanan, City kekal sekurang-kurangnya di tangga kelima sekalipun jika pasukan tangga keempat Nottingham Forest, pasukan tangga kelima Newcastle dan pasukan tangga keenam Chelsea masing-masing menang perlawanan mereka selepas ini.
Selepas memenangi EPL enam kali dalam tujuh musim terakhir, City terpaksa berjuang untuk layak ke Liga Juara-Juara pada ketika mereka biasanya berada dalam pemburuan kejuaraan.
City akan beralih tumpuan kepada separuh akhir Piala FA menentang Nottingham Foret di Wembley Ahad ini, manakala Villa mesti bangkit daripada kekalahan memilukan itu bagi pertembungan separuh akhir dengan Crystal Palace, Sabtu ini.
Villa tersingkir daripada suku akhir Liga Juara-Juara minggu lalu selepas gagal dalam usaha mereka bagi kebangkitan dramatik menentang Paris Saint-Germain pada aksi kedua. – AFP