LIVERPOOL, England: Bos Liverpool, Arne Slot berkata jaringan menakjubkan yang menyebabkan Darwin Nunez menangis satu kejutan besar ketika kemenangan 3-0 ke atas Bournemouth lewat malam tadi.
Pasukan kendalian Slot menguasai aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield susulan dua gol Luis Diaz pada pertengahan babak pertama.
Namun jaringan Nunez lebih mencuri tumpuan ketika Liverpool mencatat kemenangan keempat dalam lima perlawanan liga dalam era Slot.
Penyerang Uruguay itu, yang tampil kali pertama dalam kesebelasan utama sejak April lalu, menghasilkan detik magis dengan sepakan lencong yang memukau menewaskan Kepa Arrizabalaga dari sebelah sayap kanan pada minit ke-37.
Ia sesuatu yang amat mengejutkan hinggakan Slot tidak menjangkakan usaha berani itu, terutamanya ketika Mohamed Salah dan Diaz dalam kedudukan yang baik untuk menerima hantarannya tetapi Nunez sebaliknya melakukan percubaan.
“Naluri pertama saya ‘Kenapa dia melakukan percubaan?’ Dia bebas bersama bola dan pemain pertahanan sudah terjatuh tetapi beberapa saat kemudian bola menerjah jaring selepas terkena tiang gol,” katanya.
“Mungkin dia seorang pemain yang lebih bagus berbanding saya pada masa lalu!”
Nunez kelihatan penuh emosi, mengesat air matanya dengan jersi dalamnya, selepas menjaringkan gol pertama di peringkat kelab dalam 15 penampilan.
Hampir kebanyakannya tampil sebagai pemain gantian selepas pengurus terdahulu Jurgen Klopp dilihat hilang sabar dengan kepayahannya menjelang hujung musim lalu.
Slot mencabar Nunez untuk mempamerkan permainan lebih konsisten bagi membolehkannya memberikan sumbangan kepada pasukan.
“Saya fikir dengan konsisten anda boleh dapat dua benda: tahap kerja dan persembahan sepasukan,” katanya.
“Jika persembahan sepasukan tidak cukup bagus sukar juga bagi individu untuk konsisten.
“Mungkin dia boleh mempamerkannya sekali lagi Rabu ini (aksi Piala Liga menentang West Ham) tetapi kami kena tunggu dan lihat.”
Liverpool menghuni tangga teratas EPL susulan kemenangan selesa itu yang memadam keperitan kalah di laman sendiri kepada Nottingham Forest hujung minggu lalu.
The Reds dijangka sekejap sahaja berada di puncak dengan Manchester City atau Arsenal boleh mengatasi mereka selepas pertembungan antara dua pencabar kejuaraan itu malam ini di Stadium Etihad. – AFP