KUCHING: Syarikat Ghee Hua Sdn Bhd menjadi pengedar pertama Proton e.MAS di Sarawak, iaitu kenderaan elektrik (EV) yang paling laris dalam negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pelantikan syarikat itu secara rasmi sebagai pengedar EV dilihat sebagai langkah baik dalam menjayakan objektif Strategi Pembangunan Pasca Covid – 19 2030 (PCDS 2030).
”Pelancaran bilik pameran Proton e.MAS 7 terbaharu di Ghee Hua merupakan detik yang membanggakan bagi kita semua kerana syarikat permotoran tempatan kita telah diamanahkan oleh syarikat permotoran nasional untuk mempamerkan kereta elektrik berjenama tempatan.
”Selain itu, ia juga menunjukkan komitmen Ghee Hua dalam merealisasikan matlamat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mempunyai sistem pengangkutan mampan yang dikuasakan oleh tenaga hijau, dan boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis pelancaran Ghee Hua Sdn Bhd sebagai Pengedar Pertama Proton e.MAS 7 dan Smart di Ghee Hua Sdn Bhd di sini, malam tadi.
Sementara itu, Pengurus Ghee Hua Sdn Bhd, Kelvin Law berkata, kepercayaan yang diberikan untuk menjadi pengedar rasmi pertama Proton e.MAS di Sarawak tidak hanya berpotensi mengembangkan perniagaan mereka malah membantu pihaknya menyumbang kepada matlamat negara dalam peralihan ke arah mobiliti elektrik.
”Selain itu, peluang untuk mengedar dan menghantar kenderaan ini kepada pelanggan kami bermakna kami berada dalam kedudukan untuk menyokong secara langsung PCDS 2030 yang selaras dengan aspirasi negara untuk matlamat mobiliti rendah karbon dan agenda mobiliti hijau serta polisi Sifar Karbon menjelang 2050,” ujarnya.
Menjelas lanjut berkenaan Proton e.MAS 7, kereta elektrik yang semakin mendapat sambutan hangat itu dijual dalam harga antara RM108,000 hingga RM126,000 di Ghee Hua Sdn Bhd.
Julat harga jualan itu, katanya, dalam kategori harga mampu milik dengan mengambil kira ruangan dalaman dan simpanan yang luas bagi kenderaan segmen C SUV itu.
Dalam majlis sama, Karim turut menyaksikan penyerahan cek replika oleh Ghee Hua Sdn Bhd kepada dua organisasi sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd (Proton) Roslan Abdullah serta tetamu kehormat yang lain.
Oleh Rynna Sha’erra