NIAH : Gereja All Saint’s Ladang Tiga di Jalan Miri-Bintulu terima peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM80,000 daripada Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Rosey Yunus petang kelmarin.
Rosey yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, peruntukan ini adalah daripada Kerajaan Sarawak dan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat di sini.
Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja untuk melihat Gereja All Saint’s Ladang Tiga yang telah siap dibina dengan kos RM150,000 juga hasil bantuan peruntukan daripada UNIFOR.
“Tahniah kepada Jawatankuasa All Saint’s Ladang Tiga yang diketuai Latif Agau selaku Pengerusi yang telah berjaya mendapatkan kontraktor yang betul dengan penyiapan gereja besar sepadan dengan kos peruntukan.
“Sarawak sebuah negeri yang istimewa kerana mempunyai UNIFOR dan tidak ada negeri lain di Malaysia yang mempunyai pertubuhan seperti UNIFOR ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, masyarakat yang berbilang kaum dan agama harus memberi sokongan kepada kerajaan Sarawak yang diterajui oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Sarawak menjadi contoh di Malaysia kerana dapat menggunakan dana sendiri dalam membangunkan sosial keagamaan.
“Keistimewaan Sarawak ini harus kita pertahankan, dan Sarawakid tak terikat dengan kerajaan lain, politik kita juga stabil maka teruskan sokongan kepada kerajaan Sarawak, jangan cepat percaya kepada janji parti lain,” tambahnya.
Sementara itu, Latif Agau berkata bahawa pihak mereka akan membina sebuah dewan serbaguna berdekatan gereja tersebut.
Jelasnya, projek pembinaan dewan tersebut tergendala akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Oleh Adum Liu