
SIBU: Sebanyak 29 sekolah di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan masing-masing menerima peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM3,000 bagi 2026.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau berkata, bantuan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyokong pembangunan pendidikan khususnya di kawasan luar bandar.
Katanya, peruntukan yang disalurkan menerusi Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian itu turut membuktikan kerjasama erat antara pihak sekolah, komuniti dan kerajaan dalam memperkukuh sektor pendidikan.
“Tahun ini, kami memohon peruntukan khas untuk sekolah-sekolah di Bawang Assan dan bersyukur kerana ia mendapat kelulusan daripada kepimpinan parti,” katanya pada majlis penyerahan cek di pejabat SUPP, semalam.
Kevin berkata, walaupun jumlah bantuan mungkin tidak besar, namun ia tetap memberi makna sebagai sokongan dan galakan kepada pelajar, guru-guru dan pihak pentadbiran sekolah.
Beliau turut merakam penghargaan kepada warga pendidik dan pihak pengurusan sekolah atas komitmen mereka dalam memastikan kecemerlangan pendidikan terus diperkasa.
“Kita berharap sokongan seperti ini dapat diteruskan demi melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sarawak,” ujarnya.
Oleh Akun Giman