
SIBU: Penyertaan aktif generasi muda dalam seni tradisional ‘ngajat’ dan ‘betabuh’ dilihat menjadi pemangkin utama kelangsungan warisan masyarakat Iban agar terus relevan dan tidak pupus ditelan peredaran zaman.
Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu, Chambai Lindong berkata, minat ditunjukkan golongan muda menerusi Pekit Betabuh (Ngajat) Terbuka membuktikan seni budaya tradisional masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hari ini.
Menurut beliau, ‘ngajat’ dan ‘betabuh’ bukan sekadar persembahan hiburan, malah menjadi lambang identiti, adat serta warisan masyarakat Iban yang perlu dipertahankan oleh setiap generasi.

“Selagi adat dan budaya masyarakat Iban terus diamalkan, selagi itulah warisan ini akan kekal hidup dan terus diwarisi generasi seterusnya.
“Main asal seperti ‘ngajat’ dan ‘betabuh’ merupakan denyutan jantung warisan masyarakat Iban yang tidak boleh dipisahkan daripada identiti bangsa,” katanya ketika menyempurnakan penutupan Pekit Betabuh (Ngajat) Terbuka di Permai Lake Garden FoodCourt (Lakeside), semalam.
Beliau berkata, pertandingan anjuran bersama SDNU Sibu dan Jawatankuasa Bazar Gawai Dayak Permai Lake Garden FoodCourt (Lakeside) itu menerima sambutan memberangsangkan dengan penyertaan 11 kumpulan, majoritinya pelajar sekolah.
Katanya, penyertaan tersebut memperlihatkan generasi muda bukan sahaja berminat mempelajari seni tradisional, malah sanggup tampil mempertahankan adat dan budaya warisan nenek moyang mereka.
Dalam pada itu, Chambai berkata SDNU Sibu bercadang memperbesar skala pertandingan berkenaan tahun depan menerusi penambahan hadiah serta usaha mendapatkan dana bagi menarik lebih banyak penyertaan.
Menurutnya, SDNU Sibu melalui biro kebudayaannya juga komited membantu mana-mana pihak yang ingin mempelajari adat dan budaya masyarakat Iban dengan memohon dana disediakan kerajaan Sarawak melalui Majlis Seni Sarawak.
Sebagai galakan kepada peserta, beliau turut mengumumkan juara pertandingan akan ditaja SDNU Sibu untuk membuat persembahan pada Malam Mantar Gawai Dayak Sibu pada 23 Mei ini yang dianjurkan bersama Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu, Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) Sibu dan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Sibu.
Oleh Tarani Lanting