
BINTANGOR: Kerajaan Sarawak menerusi pelbagai inisiatif pembangunan telah menyalurkan lebih kurang RM7.8 juta kepada institusi pendidikan di Meradong sejak 2021 demi memastikan generasi muda mendapat akses pembelajaran lebih berkualiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.5 juta diperuntukkan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), manakala RM1.3 juta lagi disalurkan melalui geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
“Bantuan tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan institusi pendidikan di Daerah Meradong terus menikmati kemudahan lebih baik demi melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
“Pendidikan merupakan sebahagian daripada agenda utama perjuangan saya kerana ia memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan anak-anak di DUN Meradong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam perpaduan sempena Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Gawai dan Hari Guru warga pendidikan Daerah Meradong anjuran Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Meradong di sini, baru-baru ini.
Selain itu, Koung Hiing turut memberi jaminan akan terus membantu menyalurkan peruntukan kepada sekolah-sekolah di kawasan Daerah Meradong bagi memastikan pelbagai program pendidikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Katanya, kerjasama erat antara semua pihak mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif sekali gus membantu meningkatkan pencapaian akademik dan sahsiah pelajar.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen warga pendidik yang sentiasa berusaha mendidik pelajar dengan penuh dedikasi dan kasih sayang demi melahirkan modal insan berkualiti.
“Guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membentuk keperibadian dan masa depan anak-anak.
“Pengorbanan mereka amat besar dan wajar dihargai oleh seluruh masyarakat.
“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru dan terima kasih atas segala ilmu yang dicurahkan,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Meradong, Zamerene Ruin dan wakil PPD Daerah Meradong, Nasaruddin Ibrahim.
Oleh Earl Anek