PUTRAJAYA: Malaysia akan menyalurkan sumbangan lebih AS$2 juta kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini semalam, beliau berkata, Jemaah Menteri bersetuju menyediakan AS$1 juta manakala Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar turut berkenan menyumbang AS$1 juta lagi bagi tujuan tersebut.
Dalam pada itu katanya, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga akan menyumbang RM10 juta yang sebahagian bantuan itu akan disalurkan ke Turkiye dan Syria.
Gempa bumi besar dengan magnitud 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut beribu nyawa di Turkiye dan Syria. Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lebanon.
Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kedua ke Turkiye malam ini untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.
Pasukan kedua di bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu akan dianggotai 70 anggota daripada SMART serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Ini kerana pasukan pertama sangat berkesan, Turkiye memohon tambah anggota,” katanya.
Pada 6 Februari lepas, Malaysia menghantar pasukan SMART ke Turkiye bagi membantu misi SAR mangsa gempa bumi di selatan Turkiye sebagai tanda solidariti kepada mangsa yang terjejas.
Anwar berkata, Kementerian Pertahanan juga sedang mempersiapkan pasukan doktor dan paramedik dari Angkatan Tentera Malaysia untuk digerakkan ke Turkiye.
“Pasukan dari ATM ini bersedia untuk menggerakkan hospital medan ke Turkiye namun sedang menunggu pengesahan mengenai keperluannya oleh negara itu,” katanya.
Mengenai proses membantu mangsa di Syria, Anwar berkata sebarang proses sumbangan ke negara itu akan dilaksanakan melalui International Committee of The Red Cross (Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah).
“Ini kerana ada masalah sekatan… konsul kita di Syria akan memastikan penyaluran dana dan pembelian perubatan disalur melalui Palang Merah,” katanya. – Bernama