KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi lemah berukuran 3.4 magnitud dikesan berlaku di Temenggor, Gerik, Perak, tengah malam tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian pada 12.06 pagi itu berlaku pada koordinat 5.5 darjah Utara dan 101.3 darjah Timur.
Menurut MetMalaysia pusat gempa tersebut terletak 9 kilometer (km) timur laut dari Hulu Perak dengan kedalaman 10 km.
“Gegaran turut dirasai di sekitar kawasan Gerik namun tiada ancaman tsunami dikeluarkan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa tersebut diminta mengisi borang soal selidik yang disediakan oleh MetMalaysia. – Bernama





