Gas Malaysia, Petronas kaji sambungan paip ke terminal regasifikasi yan

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

KUALA LUMPUR: Gas Malaysia Bhd memeterai perjanjian kajian dan kerjasama (Joint Study and Collaboration Agreement – JSCA) dengan Petronas Gas Bhd (PGB) bagi mengkaji pembangunan saluran paip lateral darat untuk menghubungkan projek terminal regasifikasi (RGT) Yan yang dicadangkan dengan sistem Peninsular Gas Utilisation (PGU).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gas Malaysia memaklumkan JSCA itu menetapkan rangka kerja bagi kedua-dua syarikat menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan aktiviti berkaitan bagi cadangan sambungan saluran paip berkenaan.

“JSCA itu memformalkan peranan dan tanggungjawab setiap pihak serta aturan peruntukan kos bagi kajian tersebut, selain menjadi sebahagian daripada keperluan di bawah surat kebenaran meneruskan projek (Letter of Proceed – LTP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga Malaysia bagi projek RGT Yan,” menurut kenyataan itu.

Gas Malaysia memaklumkan kajian kebolehlaksanaan itu akan menilai daya maju teknikal, operasi dan komersial cadangan sambungan saluran paip, termasuk reka bentuk kejuruteraan, keperluan pengambilan tanah serta penilaian teknikal lain yang diperlukan bagi menyokong pengesahan PGB terhadap cadangan sambungan berkenaan.

Menurutnya, hasil kajian itu akan menyediakan maklumat yang diperlukan untuk memajukan projek RGT Yan serta memudahkan penyerahan dokumen berkaitan kepada Suruhanjaya Tenaga selaras dengan LTP.

Di bawah perjanjian itu, PGB akan mengetuai kajian kebolehlaksanaan yang meliputi simulasi hidraulik keadaan mantap dan sementara, tinjauan tapak yang merangkumi penilaian secara dokumentasi dan lapangan, tinjauan kejuruteraan, penyiasatan tanah serta reka bentuk kejuruteraan hadapan.

Gas Malaysia memaklumkan kajian berkenaan akan menyokong penilaian PGB terhadap kebolehlaksanaan teknikal pembangunan saluran paip lateral tersebut.

Sementara itu, Gas Malaysia akan menyediakan maklumat mengenai kadar aliran volumetrik dan permintaan gas di pusat permintaan berkaitan bagi menyokong penilaian kebolehlaksanaan saluran paip.

PGB merupakan pihak berkaitan dengan Gas Malaysia berikutan pegangan langsungnya sebanyak 14.8 peratus dalam syarikat tersebut. – Bernama

IPU Serian meningkat, Lundu catat 285

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Sarawak terus meningkat setakat 4.00 petang hari ini berbanding 12.00 tengah