MIRI: Tiga kenderaan musnah sepenuhnya manakala dua lagi rosak selepas sebuah garaj kereta terbakar di Jalan Padang Kerbau, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 2.44 petang itu, kebakaran turut menyebabkan sebuah kenderaan terbakar 80 peratus dan sebuah lagi kira-kira 15 peratus.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bersama bantuan BBP Miri Sentral tiba di lokasi pada 2.52 petang.
Menurutnya, kebakaran membabitkan garaj berkeluasan 22 x 30 kaki persegi dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Operasi pemadaman dijalankan secara ofensif dan api berjaya dikawal pada 3.16 petang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati keadaan selamat dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.20 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling



