BINTANG tenis Serbia, Novak Djokovic berkata, ‘tidak ada alasan’ untuk terus menggunakan khidmat pengadil garisan dan tenis harus lebih mempercayai penggunaan teknologi.
Saingan Terbuka Perancis terus dilanda kontroversi tidak bersetuju dengan keputusan pengadil garisan, manakala ‘Hawkeye’ hanya digunakan perlawanan membabitkan kamera televisyen.
Juara Terbuka Amerika Syarikat, Dominic Thiem terlebih dulu melobi agar penganjur untuk sekurang-kurangnya umpire perlawanan boleh merujuk ‘Hawkeye’ dan Denis Shapovalov merasakan dia sering menjadi mangsa keputusan tidak tepat.
Kini gelaran Djokovic pula mempersoalkan kenapa tenis terus bergantung kepada kesilapan keputusan manusia.
“Dengan penuh rasa hormat kepada tradisi dan budaya yang kita ada dalam sukan ini, apabila ia berkaitan dengan kehadiran manusia di dalam gelanggang ketika perlawanan, termasuk penjaga garisan, saya melihat tidak ada sebab dalam semua kejohanan di dunia, pada era teknologi terkini, tidak menggunakan apa yang digunakan pada kejohanan di Cincinnati/New York.
“Teknologi sekarang semakin canggih, tidak ada sebab mengapa anda masih lagi mengekalkan pengadil garisan di dalam gelanggang. Itu pendapat saya.
“Sudah tentu, teknologi adalah sangat tinggi kos, jadi ia berkaitan dengan isu ekonomi dan menjadi persoalan.
“Tapi saya rasa kita sekarang semakin maju dan lambat-laun kita tidak mempunyai alasan lagi untuk mengekalkan pengadil garisan.
“Ya, budak bola sudah tentu diperlukan tapi pengadil garisan, saya tidak merasakan ia perlu, secara jujurnya,” kata Djokovic yang memenangi pusingan ketiga Terbuka Perancis selepas menundukkan wakil Colombia, Daniel Elahi Galan 6-0-, 6-3, 6-2. -AFP