LONDON: Mangsa kecurian barang kemas dianggarkan bernilai 10 juta pound sterling (kira-kira RM55.96 juta) menawarkan ganjaran sehingga 1.5 juta pound sterling (kira-kira RM8.4 juta) untuk membantu mendapatkan semula barangan itu dan menangkap si pencuri.
Sebahagian daripada harta itu dilaporkan milik pengumpul seni Shafira Huang yang dikatakan sebagai pempengaruh Instagram bertaraf jutawan.
Seorang pencuri melarikan diri dengan barang kemas serta beg tangan berjenama yang bernilai lebih 150,000 pound sterling (kira-kira RM839,535), selepas memanjat tingkap tingkat dua di sebuah hartanah di kawasan Primrose Hill yang mewah di utara London pada 7 Disember lalu, kata pasukan Polis Metropolitan London.
Pasukan itu sudah mengeluarkan imej suspek yang dirakam menerusi kamera keselamatan, menunjukkan suspek memakai ‘hoodie’ gelap dan topi besbol kelabu, dengan mukanya ditutup.
Barangan yang diambil dalam kes pecah rumah itu termasuk beberapa rantai dan gelang bertatahkan permata; beg tangan Kelly daripada jenama Hermes, yang diperbuat daripada kulit buaya; dan wang tunai 15,000 pound sterling (kira-kira RM83,955).
“Suspek mencuri barang kemas bernilai 10.4 juta pound sterling (kira-kira RM58.19 juta) kebanyakannya adalah mempunyai nilai sentimental dan unik dalam reka bentuknya, dan oleh itu mudah dikenal pasti,” kata detektif Polis Metropolitan London, Paulo Roberts.
Pemilik rumah yang tidak berada di kediamannya semasa kejadian pecah rumah itu menawarkan 500,000 pound sterling (kira-kira RM2.8 juta) untuk maklumat membawa kepada penahanan dan sabitan suspek.
Mereka juga menawarkan ganjaran kedua sebanyak 10 peratus daripada nilai mana-mana item yang ditemukan semula. – AFP